Tindakan BPR soal kakak, adik dipertikai

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, Datuk Ramli Yusuff berkata tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil keterangan kakak dan adik perempuannya boleh dipersoalkan.

Ramli berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengeluarkan kenyataan beliau berpuas hati dengan siasatan BPR dan kertas siasatan sudah diserahkan kepadanya.

Ramli dalam satu kenyataan media melalui peguamnya berkata, pada jam 9.15 pagi semalam, tiga pegawai BPR dari Kota Bharu ke rumah kakaknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan memintanya mengikut mereka bagi tujuan mengambil kenyataan.

Beliau berkata, kakaknya Rohmah @ Hasmah, 58, memberitahu pegawai terbabit beliau perlu menjaga bapa berusia 83 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit.

“Kakak saya menawarkan untuk memberi kenyataan di rumah, dengan alasan kesihatan ayah saya, tetapi beliau diberitahu akan ditangkap jika tidak mengikut mereka,” katanya.

Ramli berkata, pegawai BPR itu juga mengunjungi adik perempuannya, Roslina, 42, di pejabatnya tetapi beliau bercuti.

“Adik saya diberitahu oleh kakitangan pejabatnya mengenai kunjungan itu dan beliau menghubungi peguam dan mereka menasihatinya supaya memberikan kerjasama kepada BPR,” katanya.

Pegawai BPR bagaimanapun tidak dapat dihubungi.

Ramli berkata, sebelum ini, kakak dan adik perempuan sudah memberikan kenyataan mereka kepada BPR.

Sementara itu, di Bunut Susu, Pasir Mas, tinjauan Bernama ke banglo putih dua tingkat yang didiami bapa Ramli, Yusuff Ismail mendapati keadaannya sunyi dan sepi dengan hanya dua kereta iaitu jenis Kia dan Perodua Kelisa berada di pekarangan rumah berkenaan. – Bernama

0 comments: