BPR ambil keterangan dua beradik Pengarah JSJ

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Haika Khazi dan Nahar Tajri

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam mengambil keterangan kakak dan adik perempuan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusoff, berhubung siasatan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa serta pemilikan aset bernilai RM27 juta.

Adiknya, dikenali Roslina yang juga kakitangan kerajaan, memberi keterangan selama tiga jam di Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, manakala kakaknya, Rohmah @ Hasmah Yusoff, di BPR Kelantan di Kota Bharu.

Difahamkan, keterangan dua beradik itu diambil bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan terhadap Ramli.

Roslina yang tinggal di Kota Damansara dekat sini, tiba di Ibu Pejabat BPR pada jam 1.45 petang, tetapi pegawai BPR dikatakan mula merekodkan keterangannya pada jam 3.50 petang hingga 6.30 petang.

Beliau yang berbaju kurung dan bertudung serba biru, diiringi peguamnya, Harvinder Jit Singh. Sebaik selesai memberi keterangan, Roslina yang kelihatan muram terus bergegas ke keretanya dan enggan menemui lebih 30 wartawan yang menunggu di pekarangan Ibu Pejabat BPR sejak jam 11 pagi.

Harvinder Jit ketika ditemui pemberita pula berkata pelanggannya akan membuat kenyataan kemudian.

"Pelanggan saya sebenarnya dalam keadaan kurang sihat dan mendapat cuti sakit selama dua hari. Beliau akan beri kenyataan kemudian," katanya.

Roslina dan peguamnya dilihat meninggalkan ibu pejabat BPR dengan menaiki Proton Perdana berwarna perak. Bagaimanapun, Ramli tidak kelihatan di pejabat berkenaan. Setakat ini belum diketahui sama ada BPR turut mengambil kenyataannya.

Kelmarin, Ramli dalam sidang media khas di pejabatnya, mengaku beliau disiasat BPR berhubung dakwaan menyalahguna kuasa dan memiliki aset RM27 juta. Beliau bagaimanapun menafikan pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya dan mempertikaikan ketelusan proses siasatan BPR.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dan Timbalan Ketua Pengarah I (Operasi) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, gagal ditemui atau dihubungi untuk mengulas perkara itu. Beberapa pegawai kanan BPR di Putrajaya dan Kota Bharu pula mengambil sikap membisu.

Ramli juga gagal dihubungi sepanjang hari semalam. Malah, Wartawan yang berkumpul di pekarangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana di sini sejak jam 10 pagi, diarahkan oleh pengawal di pintu masuk supaya menunggu di luar kawasan kompleks itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom, yang dihubungi mengaku mengarahkan Ramli memerangi jenayah di Johor yang dikatakan ada hubung kait dengan beberapa Datuk termasuk Jaksa Pendamai (JP).

Katanya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembanteras Peminjam Wang Haram (Along), beliau mempunyai kuasa mengarahkan polis mengambil tindakan itu.

"Saya ada arahkan siasatan mengenai seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Along kerana itu adalah tugas jawatankuasa ini.

"Bila fail berkaitan ahli perniagaan itu diserahkan, saya menelitinya dan mengambil tindakan berdasarkan langkah serta prosedur biasa yang ditetapkan," katanya.

0 comments: