Johari akui arah JSJK siasat

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum mengakui beliau memberi arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) supaya melakukan siasatan berhubung aktiviti beberapa sindiket jenayah di Johor membabitkan beberapa orang bergelar Datuk dan Jaksa Pendamai (JP).

Namun katanya, arahan itu tidak dibuat secara individu sebaliknya melalui Jawatankuasa Bersama dan Pasukan Khas Polis Peringkat Kabinet bagi memerangi ancaman kegiatan Ah long dan perjudian yang turut dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow.

Tambah Johari, arahan tersebut juga merupakan perkara biasa dalam usaha membanteras sesuatu kegiatan jenayah berdasarkan maklumat diterima daripada orang ramai dan polis di tugaskan menyiasat maklumat diterima.

“Saya akui memang benar saya yang arahkan siasatan tetapi arahan adalah melalui jawatankuasa bersama dimana saya salah seorang pengerusinya.

“Arahan juga bersesuaian dengan tanggungjawab saya sebagai menteri dan sememangnya saya boleh mengarahkan beliau (Ramli) menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Ramli Yusuff mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat JSJK di Jalan Dato’ Onn semalam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Ramli mengakui beliau adalah pegawai kanan polis yang dilaporkan oleh media memiliki aset sebanyak RM27 juta dan mengesahkan dirinya sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), namun menafikan memiliki aset sebanyak itu.

0 comments: