Mahkamah siasat cubaan bunuh Benazir

ISLAMABAD: Ketua Hakim Pakistan Iftikhar Mohammed Chaudhry berkata Mahkamah Agung akan menyiasat serangan bunuh diri yang disasarkan ke atas konvoi bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto 10 Oktober lalu yang meragut 140 nyawa.

Tindakan hakim itu dijangka memburukkan lagi ketegangan politik di negara yang sememangnya bergolak ketika Mahkamah Agung dijadual memutuskan seawal esok berhubung kesahihan kemenangan Presiden Pervez Musharraf pada pilihan raya 6 Oktober lalu ketika masih menjadi Panglima Tentera.

Kerajaan Musharraf sudah berikrar membawa mereka terbabit ke muka pengadilan dan menyalahkan kumpulan pelampau sebagai dalangnya.

Namun Ifitikar sebaliknya menyuarakan rasa tidak sabar dengan siasatan yang diawasi rapat masyarakat antarabangsa ketika Pakistan semakin hampir dengan pilihan raya pentingnya.

"Mahkamah Agung akan meneliti kejadian itu bagi memastikan dalang serangan ganas itu dihadapkan ke muka pengadilan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran kerajaan," kata satu kenyataan mahkamah, semalam.

Malah, sebutan kes itu dijadualkan hari ini.

Ketua hakim itu muncul sebagai pemain utama perebutan kuasa politik Pakistan selepas Musharraf gagal dalam cubaan memecat Iftikar, Mac lalu. - Reuters

0 comments: