Pengarah JSJK hadapi tuduhan tak isytihar harta, jalankan bisnes

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Ramli Yusoff hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini berhubung dua tuduhan gagal mendedahkan maklumat harta yang dimilikinya dan satu tuduhan menjalankan perniagaan.

Ramli, 55, pegawai tertinggi polis yang diheret oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke mahkamah, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan itu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa tidak mendedahkan maklumat mengenai ruang pejabat, Lot 144, Seksyen 44, Petak 128, Tingkat 4, bangunan M1-B, hak milik Strata Geran 37731/M1-B/4/128, Bandar Kuala Lumpur, Unit B-3A-9, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini, dan satu lagi ruang pejabat lot yang sama, Petak 127 di tingkat dan bangunan yang sama.

Harta itu, semasa perolehan bernilai RM1,032,840 yang dipegang oleh kakaknya, Rohmah @ Hasmah Yusoff, dan adiknya, Roslina Yusoff, selaku dua pengarah Bonus Circle Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa gagal mendedah maklumat berkenaan 154,000 saham yang dimilikinya dalam Permaju Industries Berhad.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR, Putrajaya pada 17 September 2007.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 32(2) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari hingga 20 tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan ketiga, Ramli didakwa sebagai penjawat awam dan memegang jawatan sebagai Pengarah JSJK, Bukit Aman, beliau terikat di sisi undang-undang supaya tidak mengambil bahagian dalam perniagaan, sebagaimana diperuntukkan di bawah peraturan 5(1)(a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 2002.

Pengarah JSJK itu didakwa telah menjadi pengarah dalam syarikat hartanah Kinsajaya Sdn Bhd.

Dia didakwa mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ramli didakwa di hadapan Hakim Komathy Suppiah pada pukul 3.30 petang.

Ramli, yang memakai kot berwarna biru diiringi isterinya, Datin Anita Harun, yang juga Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Ramai pegawai dan anggota polis terutamanya dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang berada di dalam mahkamah, berpusu-pusu bersalaman dengan beliau.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi memohon mahkamah memerintahkan Ramli menyerahkan pasport selepas beliau menunaikan umrah.

Mohamad Jazamuddin berkata, pendakwaan akan memanggil 20 orang saksi bagi dua tuduhan gagal mendedahkan harta dan 15 saksi bagi tuduhan menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, pendakwaan akan menjalan perbicaraan bersama bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala tuduhan ketiga dilakukan secara berasingan.

Peguam Datuk K. Kumaraendran, yang mewakili Ramli, merayu agar pasport anak guamnya tidak diserahkan kerana Ramli akan mengerjakan umrah pada Sabtu ini dan akan mengerjakan ibadah haji pada minggu pertama Disember ini.

Kumaraendran berkata, Ramli yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mungkin melarikan diri, malah pihak pendakwaan tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mendapatkan perintah pasport Ramli diserahkan.

“Kerjayanya dalam PDRM kini tergugat akan tuduhan ini.

“Dakwaan ini menimbulkan prasangka terhadap perwatakan dan kewibawaan beliau sebagai pegawai kanan polis.

“Tertuduh mahu memulihkan nama baiknya dan tidak akan lari. Ini menjadi sebab untuk beliau hadir dan melawan pertuduhan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan anak guamnya dijamin dengan jaminan persendirian.

Bagaimanapun, Mohamad Jazamuddin memohon mahkamah menetapkan RM40,000 untuk jaminan bagi dua tuduhan.

Hakim Komathy kemudiannya memerintahkan Ramli dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi dua tuduhan tersebut dan menetapkan 15 Jan tahun depan untuk perbicaraan bagi dua pertuduhan dan sebutan bagi tuduhan ketiga sama ada perlu dibicarakan bersama atau tidak.

Rakan Ramli membayar jaminan itu.

Kumaraendran memberitahu pemberita bahawa Ramli akan menghadapi satu lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen di Sabah pada 19 November ini.

Terdahulu, Ramli ditahan di ibu pejabat BPR di Putrajaya pukul 11.45 pagi ini, dan setelah hampir tiga jam keterangannya diambil, dia dibawa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke Mahkamah Sesyen di Jalan Duta.

- Bernama

0 comments: