Raja-raja tidak bincang kedudukan Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang tempoh perkhidmatannya tamat semalam, tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-212 di sini hari ini.

Jurucakap Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memberitahu bahawa isu itu tidak disentuh, malah tiada dalam agenda mesyuarat itu.

“Apa yang dilaporkan sebuah akhbar mengenai raja-raja akan membincangkan kedudukan Ketua Hakim Negara adalah spekulasi semata-mata,” katanya.

Ahmad Fairuz yang mencapai usia 66 tahun semalam, usia persaraan wajib bagi hakim-hakim seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 17 Mac 2003.

Beliau dilaporkan telah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong pada Julai lepas untuk menyambung perkhidmatan selama enam bulan lagi.

Beliau menyertai perkhidmatan undang-undang dan kehakiman pada April 1967 dengan menjadi majistret di Pulau Pinang dan kemudian memegang beberapa jawatan penting seperti Penasihat Undang-undang negeri Kedah/Perlis, Johor dan Selangor, Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim Mahkamah Tinggi.

Ahmad Fairuz dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 1995, Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000, Hakim Besar Malaya pada 2001 dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 2002.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu diadakan di Istana Negara dan dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu telah membincangkan perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan semasa ekonomi negara dan pendidikan.

Pada mesyuarat itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diwakili Pemangku Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin Tuanku Ja’afar, Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, Sultan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Pada akhir mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu menghadiahkan kek kepada Abdullah sempena ulang tahun keempatnya sebagai Perdana Menteri.

- Bernama

0 comments: