Pekerja Thailand mogok, KTM ke Bangkok dibatal

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

GEORGETOWN: Perkhidmatan kereta api antarabangsa bagi perjalanan harian dari Butterworth ke Bangkok dihentikan sementara mulai semalam berikutan mogok pekerja kereta api di negara jiran itu.

Pengurus Pemasaran KTM Berhad (KTMB), Nordin Kimi, berkata jualan tiket kereta api bagi perjalanan antarabangsa itu juga dihentikan sementara sehingga mogok berakhir.

Bagaimanapun, katanya, penumpang yang ingin ke Thailand dari Pulau Pinang masih boleh berbuat demikian dengan menaiki kereta api Ekspres Langkawi, dari Kuala Lumpur ke Hatyai.

"Penumpang dari Pulau Pinang boleh menaiki kereta api itu yang akan mengambil penumpang di Butterworth tetapi akan berhenti di Padang Besar, Perlis.

"Selepas itu, KTMB akan menguruskan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang hendak ke Hatyai, tetapi penumpang yang hendak ke destinasi lain di Thailand perlu mencari pengangkutan alternatif sendiri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan mogok pekerja perkhidmatan kereta api di seluruh Thailand yang membantah penswastaan Kereta Api Negara Thailand (SRT) sehingga perkhidmatan kereta api dari Pulau Pinang ke Bangkok terpaksa dibatalkan.

Di BANGKOK, beratus-ratus penumpang terkandas apabila perkhidmatan kereta api, termasuk ke Pulau Pinang dibatalkan berikutan tindakan mogok pekerja perkhidmatan kereta api di seluruh Thailand.

Ketua Pusat Selatan SRT, Thanongsak Phongprasert, berkata perkhidmatan kereta api antara Bangkok dan Pulau Pinang dan sebaliknya dibatalkan.

Beliau berkata, kira-kira 40 penumpang ke Pulau Pinang yang tiba di stesen Toon Song di wilayah Nakhon Sri Thammarat dari Bangkok dibawa dengan bas ke Padang Besar kira-kira jam 9 pagi semalam untuk meneruskan perjalanan mereka.

Perkhidmatan kereta api antara Pulau Pinang dan Bangkok amat popular di kalangan pelancong, biasanya berlepas dari Butterworth pada jam 2.20 petang dan tiba di destinasi kira-kira jam 12 tengah hari keesokannya.

KTMB adalah ejen jualan tiket bagi perkhidmatan itu dan akan menuntut ganti rugi daripada SRT kerana terpaksa memulangkan semula kutipan tiket kepada kira-kira 40 penumpang yang hampir semuanya pelancong asing, bagi perjalanan petang semalam.

Naib Presiden Kakitangan Perkhidmatan Kereta Api, Sawit Kaewwan, dilaporkan berkata tindakan mogok itu akan diteruskan sehingga kerajaan menarik balik keputusan untuk menswastakannya.

Beliau berkata, jika tiada penyelesaian segera ditawarkan oleh kerajaan, pekerja akan meneruskan mogok dan lebih banyak perkhidmatan kereta api akan terjejas.

0 comments: