Ramli persoal tindakan BPR panggil kakak dan adiknya

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia Datuk Ramli Yusuff berkata tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kakak dan adik perempuannya boleh dipersoalkan.

Ramli berkata, ini kerana Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berpuashati dengan siasatan BPR dan kertas siasatan telah diserahkan kepadanya.

Ramli dalam satu kenyataan akhbar melalui peguamnya hari ini berkata, pada kira-kira pukul 9.15 pagi tiga pegawai BPR dari pejabat Kota Baharu ke rumah kakaknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan meminta kakaknya itu mengikut mereka bagi tujuan mengambil kenyataan.

Beliau berkata, kakaknya Rohmah @ Hasmah Yusuff, 58, telah memberitahu pegawai-pegawai itu beliau perlu menjaga bapanya berusia 83 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit.

“Kakak saya menawarkan untuk memberi kenyataannya di rumah, dengan alasan kesihatan ayah saya, tetapi beliau diberitahu akan ditangkap jika tidak mengikut mereka,” kata Ramli dalam kenyataan itu.

Ramli berkata, pegawai-pegawai BPR itu juga mengunjungi adik perempuannya, Roslina Yusoff, 42, di pejabatnya tetapi beliau bercuti.

“Adik saya diberitahu oleh pejabatnya mengenai kunjungan itu dan beliau menghubungi peguamnya dan mereka menasihatinya supaya memberikan kerjasama kepada BPR,” katanya.

Pegawai-pegawai BPR bagaimanapun tidak dapat dihubungi.

Ramli berkata, sebelum ini, kakak dan adik perempuannya itu telah memberikan kenyataan mereka kepada BPR.

Semalam, Ramli pada sidang akhbar di pejabatnya mengakui beliau adalah pegawai kanan polis yang disiasat BPR kerana didakwa memiliki aset sebanyak RM27 juta. Beliau bagaimanapun menafikan memiliki aset sebanyak itu.

Dan Abdul Gani pula dalam kenyataannya semalam memberitahu pemberita bahawa siasatan terhadap Ramli telah selesai dan enggan mengulas sama ada pegawai kanan polis itu akan dituduh di mahkamah atau tidak.

Di KOTA BHARU, kakak Ramli mengelak apabila dihampiri pemberita yang menunggu kira-kira dua jam di luar pejabat BPR Kelantan di sini.

Pengarah BPR Kelantan, Md Yusof Md Zain ketika dihubungi Bernama juga enggan mengesahkan perkara itu kerana menurutnya semua siasatan berhubung kes itu dijalankan pegawai BPR dari ibu pejabat.

– Bernama

0 comments: