Hab halal perlu dikendali sepenuhnya umat Islam

Oleh HATA WAHARI


Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan tetamu kehormat selepas beliau memberi ucapan penutupan Multaqa Pengerusi Biro Agama Peringkat Kebangsaan 2007 di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama UMNO yang berakhir hari ini menggesa hab halal dikendalikan sepenuhnya oleh umat Islam.

Perkara itu terkandung dalam resolusi yang diedarkan kepada pihak media selepas majlis penutup multaqa tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Resolusi itu menjelaskan, Halal Hab perlu digunakan untuk memartabatkan ekonomi masyarakat Islam dan mesti dijadikan medium bagi menjana serta memperkasakan ekonomi bangsa.

“Hab halal juga perlu penglibatan aktif syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji,” demikian menurut resolusi Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama UMNO yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Multaqa itu juga menerima Islam Hadhari sebagai suatu pendekatan bagi menggerakkan pentadbiran negara.

Sehubungan itu, resolusi itu menegaskan penerapan serta pelaksanaan Islam Hadhari wajib dilihat sebagai strategi terpenting memelihara dan memperkukuhkan tradisi yang dinamik.

“Bagi membina tamadun bangsa yang terbilang, gerakan bersepadu gagasan Islam Hadhari dalam semua sektor mesti dipertingkatkan.

“Kaedah Islam Hadhari pemimpin negara pula ialah menangani isu-isu yang menggugat negara bangsa membabitkan agama, kaum serta kontrak sosial ditangani dengan bijak dan tegas wajib diteruskan,” jelas resolusi tersebut.

Multaqa tiga hari itu mahu media dan pengamalnya berpegang kepada prinsip iman dan takwa dalam melaksanakan amanah, profesionalisme dan tanggungjawab.

Resolusi itu juga mahukan usaha memperkasakan pertahanan negara bagi mengekang ancaman dalaman dan luaran untuk mengekalkan kedaulatan negara dalam semua bidang.

Pengiktirafan kepada golongan agama pula bukan sekadar pengucapan bahkan diberi peranan utama dalam arus perdana.

0 comments: