Kaji selidik tunjukkan rakyat Malaysia amat bimbang terhadap keselamatan

Harakahdaily
Thu | Nov 01, 07 | 4:31:51 pm MYT

SINGAPURA, 31 Okt - Penduduk di Malaysia dan Singapura amat bimbang terhadap keselamatan, menurut Indeks Keselamatan pertama Global Unisys yang dikeluarkan.


Bernama melaporkan, Malaysia dan Singapura masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat daripada segi tahap keseluruhan kebimbangan berkaitan keselamatan.

Brazil dan Hong Kong pula masing-masing berada di tangga pertama dan kedua.

Lebih 13,000 orang dari Asia, Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta Australasia dikajiselidik untuk indeks sulung yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan terulung Newspoll and International Communications Research.

Kesemua 14 negara yang berada dalam senarai Indeks Keselamatan Global Unisys itu ialah Australia, Belgium, Brazil, Perancis, Jerman, Hong Kong, Itali, Malaysia, Belanda, New Zealand, Singapura, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Malaysia mencatatkan keputusan indeks keseluruhan sebanyak 174 manakala Singapura merekodkan 172, Hong Kong 179 dan Brazil 188. Purata global adalah 137. Perancis mempunyai catatan paling rendah iaitu 83.

Menurut Unisys, empat indeks keselamatan utama bagi kajiselidik itu adalah keselamatan kewangan, keselamatan negara, keselamatan diri dan keselamatan internet.

"Setiap orang walau di mana sahaja mereka berada, bimbangkan keselamatan kewangan - halangan dalam membayar bil atau ancaman daripada penyalahgunaan kad kredit/kad bank atau data kewangan peribadi. Kebimbangan ini berada di tahap daripada sederhana sehinggalah kepada keterlaluan di kesemua 14 negara," kata Unisys.

Warga Britain agak bimbang terhadap penipuan kad bank (184) namun kebanyakannya merasa terjamin mengenai keupayaan mereka untuk membayar bil pada masanya (98) manakala Australia dan Amerika Syarikat lebih bimbangkan ancaman kepada keselamatan negara berbanding kemungkinan tercetus wabak penyakit, katanya.

0 comments: