Sistem subsidi dihalusi

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kerajaan akan memperhalusi cadangan untuk menstruktur semula sistem subsidi bagi memastikan bantuan itu diberikan kepada golongan yang benar-benar layak menikmatinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sehubungan itu kerajaan sedang mengkaji pendekatan terbaik bagi membolehkan subsidi diberikan pada tahap yang difikirkan sesuai kepada golongan sasar terbabit.

‘‘Apa yang penting ialah supaya subsidi diberikan kepada golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukannya. Kalau beri subsidi kepada semua orang tak berapa kenalah,’’ katanya pada sidang akhbar di akhir Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini.

Presiden UMNO itu sedar langkah penstrukturan semula sistem subsidi mungkin akan menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan rakyat, namun ia terpaksa dilakukan.

‘‘Saya fikir rakyat Malaysia sangat munasabah. Mereka akan faham... kita kena berlaku adil kerana untuk melaksanakan kadar yang sama bagi yang berpendapatan rendah dengan golongan yang terlalu kaya adalah tidak adil,’’ jelas beliau.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan UMNO kali ke-58 itu, Abdullah berkata, kerajaan sedar pemberian subsidi kepada rakyat tidak boleh dihentikan sepenuhnya.

‘‘Kalau begitu, kita akan jadi seperti pengebom berani mati... tetapi kalau berani mati kerana bunuh diri itu bodoh. Kita tahu kita tidak boleh nafikan subsidi langsung... tetapi yang penting subsidi harus disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

‘‘Saya yakin yang lain (golongan berkemampuan) mampu bayar... naik sikit pun masih boleh bayar, tapi kalau kita samakan, harga petrol antara yang kaya dan miskin saya rasa itu tidak adil, saya tidak mahu begitu,” katanya.

Abdullah berkata, ketika ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM80 bilion untuk pemberian pelbagai subsidi meliputi minyak dan gas sebanyak RM35 bilion dan lima lagi komoditi membabitkan peruntukan RM40 bilion.

Jumlah itu katanya, menyamai peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk sektor pembangunan.

Semalam, Pemuda UMNO mendesak kerajaan merombak sistem pemberian pelbagai subsidi yang menyaksikan kerajaan menanggung perbelanjaan RM35 bilion setahun dan turut pula menguntungkan golongan kaya.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian subsidi yang meliputi komoditi seperti petrol, gas, pertanian, air dan elektrik pada masa ini amat tidak adil kerana turut dinikmati oleh golongan kaya yang tidak memerlukannya.

Beliau menyarankan mekanisme baru dicari supaya pemberian subsidi menjadi lebih adil dan disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Mengulas lanjut isu itu pada sidang akhbar, Abdullah percaya penstrukturan sistem subsidi itu boleh dilakukan berdasarkan mekanisme yang diguna pakai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

‘‘Bagi TNB, ada kadar yang berlainan, jika guna sikit... mereka bayar sikit, kita tidak samakan. (Keadaan ini) tidak bagi petrol dan gas kerana semua bayar (pada kadar) sama,’’ jelas beliau.

Ditanya mengenai risiko penstrukturan semula sistem subsidi itu yang mungkin mewujudkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak, Abdullah berkata, ia tidak dapat dielakkan kerana tidak semua yang akan gembira atau bersetuju dengan apa yang kerajaan lakukan.

0 comments: