Media serumpun perlu perbetul persepsi

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KUALA LUMPUR: Media di Malaysia dan Indonesia perlu memainkan peranan penting dalam memperbetulkan tanggapan masyarakat masing-masing bagi membangunkan kembali hubungan serumpun yang sedikit terganggu kebelakangan ini.

Pemangku Duta Besar Indonesia di sini, Tatang B Razak, berkata biarpun beberapa kes yang dilaporkan membabitkan warga Indonesia di media Malaysia hanya kes kecil, tapi kesannya besar dan mempengaruhi persepsi rakyat negaranya.

“Sentimen anti rakyat Indonesia di Malaysia dan begitu juga sebaliknya di Indonesia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akan menimbulkan sikap tidak bersahabat serta permusuhan.

“Tanggapan negatif seumpama ini perlu diubah kerana banyak pihak baik di Indonesia dan Malaysia terganggu. Tanggapan rakyat Indonesia sebagai punca jenayah serta orang Malaysia dilabel sombong dan angkuh di Indonesia perlu dihapuskan kerana ia merugikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dialog Hati ke Hati antaranya dengan Ketua-Ketua Pengarang Pertubuhan Media Malaysia, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainuddin Ayip dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.

Tatang berkata, dialog yang sama akan diadakan bersama media Indonesia bagi mencari jalan penyelesaian terbaik serta memikirkan hubungan yang lebih jauh, menguntungkan dan saling menghormati antara dua negara jiran.

“Prihatin atas isu ini, saya juga sudah bertemu dengan banyak pihak di Malaysia, termasuk menteri bagi menyuarakan kebimbangan yang sama,” katanya.

Beliau berkata, sebagai bangsa serumpun, bersaudara dan ada potensi untuk maju bersama, konflik yang berlaku tidak menguntungkan mana-mana pihak dan harus dihindarkan daripada terus dibangkitkan.

Tatang tidak menafikan wujud sentimen antiMalaysia di Indonesia yang didokongi sekumpulan kecil rakyat yang tidak berpuashati dengan laporan yang ditulis media negara ini.

“Memang wujud reaksi di Indonesia sejak Mei lalu tapi membabitkan kumpulan kecil, namun kami tidak mahu ia berlarutan sebaliknya mencari jalan mengelakkannya terus merebak.

“Justeru perlu laporan pemberitaan yang lebih seimbang bukan saja media di sini malah juga di Indonesia bagi memperbetulkan persepsi rakyat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, dialog pertama kali diadakan semalam adalah langkah tepat merapatkan kembali hubungan dan akan diteruskan dalam masa terdekat termasuk menjemput ketua pengarang media kedua-dua negara untuk berbincang demi kebaikan bersama.

0 comments: