Suara hati akar umbi

SARANAN Pemuda Umno supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dikendalikan semula dalam bahasa Malaysia adalah suara hati akar umbi yang mahu memastikan pelajar Bumiputera tidak ketinggalan dalam menguasai ilmu.

Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohamad, berkata kerajaan sudah mendapat reaksi daripada ibu bapa bahawa pengajaran dan pembelajaran perlu diajar dalam bahasa Malaysia selepas kajian menunjukkan prestasi pelajar luar bandar dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan merosot.

"Ia adalah suara akar umbi yang mahu kita kembali kepada sistem pembelajaran sebelum ini. Apa yang perlu dilakukan adalah memantapkan infrastruktur dan memastikan sumber dan bahan pembelajaran mencukupi," katanya.

Beliau berkata, sekolah di luar bandar masih kekurangan bahan pembelajaran bagi membantu guru dalam mata pelajaran berkenaan.

Ketua Wanita Umno Bahagian Rembau, Hasnah Peral, pula berkata demi masa depan pelajar Bumiputera, pembelajaran Sains dan Matematik perlu diajar semula dalam bahasa Malaysia.

Katanya, pelajar yang selama ini sudah selesa dan menguasai mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan, tiba-tiba dikejutkan apabila diarah mempelajari ilmu itu dalam bahasa lain.

"Kita bimbang pelajar Bumiputera akan tercicir jika pembelajaran Sains dan Matematik tetap diadakan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Serdang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, berkata kaedah yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sekarang bukan cara yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

0 comments: