BNM diminta tetap dana agro makanan

NAIB Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meminta Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan sejumlah peratusan dana bagi pinjaman oleh institusi perbankan tempatan khusus untuk membiayai inisiatif agromakanan.

Oleh itu, katanya, institusi kewangan tidak seharusnya menumpukan pembiayaan pinjaman kepada usahawan berkaitan bidang perladangan komoditi seperti kelapa sawit, koko dan getah.

Katanya, mengikut Laporan Bank Negara pada 2005, hanya empat peratus daripada RM220 bilion dikeluarkan institusi kewangan dan perbankan tempatan digunakan sektor pertanian negara.

“Jumlah ini sudah pasti kecil sehingga menyukarkan usahawan kita mendapatkan pembiayaan sektor pertanian dengan jumlah peruntukan pinjaman dana sedemikian,” katanya ketika menggulung perbahasan.

Beliau berkata, penstrukturan semula Bank Pertanian dengan suntikan modal sebanyak RM1 bilion akan dapat menyediakan seberapa banyak pinjaman untuk membiayai sektor pertanian di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengakui masih ramai petani di negara ini tidak terbabit dalam rantaian perniagaan dan hanya bertindak sebagai pengeluar, manakala pembungkusan dan pemasaran dilakukan orang tengah.

Oleh itu, beliau menyokong saranan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin mengenai langkah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Khazanah Nasional menubuhkan Perbadanan Agro Makanan Malaysia (MAFC) dengan modal permulaan RM500 juta.

“Langkah berkenaan adalah tepat untuk membaiki kelemahan dan merapatkan jurang penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor rantaian bekalan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun penubuhan MAFC itu tidak diletakkan di bawah kementeriannya, beliau akan bekerjasama dengan Khazanah Nasional supaya cadangan berkenaan dapat dilaksanakan seberapa segera.

Selain itu katanya, sektor pertanian adalah Agenda Melayu dan ia sememangnya tidak boleh diabaikan selaras dengan matlamat politik Umno membangunkan ekonomi bangsa Melayu, terutama di luar bandar.

“Kita sedar sokongan padu orang Melayu pada peringkat akar umbi datang dari kawasan luar bandar. Oleh itu tidak berguna jika ada politik, tetapi gagal membangunkan bangsa sendiri,” katanya.

Oleh itu, katanya, tugas meningkatkan sektor pertanian adalah jihad untuk membasmi kemiskinan dan menambah baik kehidupan orang Melayu dengan cara merombak dan membuat penstrukturan semula sektor pertanian.

“Ini dimulakan dengan menstruktur semula minda, pemikiran dan persepsi kerana kita mahu jadi ‘kiasu’ iaitu sentiasa mahu menang, aktif, bekerja bersungguh-sungguh mengusahakan tanah kosong dengan jayanya,” katanya.

Selain itu, beliau akan memberi perhatian kepada saranan perwakilan Umno supaya memperkasakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK).

0 comments: