Ajar murid seni pertahan diri

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno menyarankan subjek asas pertahanan diri diperkenalkan dalam kurikulum sekolah rendah berikutan meningkatnya kes jenayah membabitkan kanak-kanak di seluruh negara.

Ketua Pemuda Selangor, Abdul Shukor Idrus, berkata subjek asas pertahanan diri boleh diselang seli dengan pendidikan jasmani yang pengisiannya tidak banyak berubah sejak dulu.

"Perkara yang kita harus fikirkan hari ini apabila jenayah kanak-kanak dengan kes terbaru pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin Jazimin oleh manusia berperangai binatang yang masih berkeliaran." katanya membahaskan usul agama dan sosial.

Mengenai institusi masjid, Abdul Shukor berkata, pengurusan masjid perlu diserah kepada orang yang berkemampuan dan tidak uzur termasuk golongan profesional bagi memastikan institusi itu dimanfaatkan.

"Kerajaan dan majlis agama Islam negeri boleh menyediakan peruntukan kewangan untuk membiayai bil pengurusan, selain melengkapkan masjid dengan pelbagai kemudahan termasuk untuk aktiviti perniagaan dan belia.

"Modal awal boleh disalurkan kepada masjid supaya pelbagai kegiatan dapat dikendalikan dalam usaha menjadikan institusi ini pusat penyatuan umat Islam, selain tempat ibadat.

"Apa yang menyedihkan hari ini masjid dikunci apabila selesai solat jemaah... mungkin kerana pengurusan masjid takut (barangan) dicuri atau digunakan orang terutama elektrik dan air hingga bil tinggi," katanya.

Mengenai isu tanah wakaf, beliau berkata, kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh serta melaksanakan sistem pengurusan profesional bagi memastikan tanah wakaf mendapat pulangan menguntungkan.

"Pemuda juga mencadangkan umat Islam diberi pemahaman lebih tepat dan luas mengenai wakaf kerana persepsi umum mengehadkan tanah wakaf kepada tapak majlis, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan semata-mata," katanya.

0 comments: