Malaysia ke-25 Kerajaan Elektronik

GEORGETOWN: Malaysia menduduki tangga ke-25 negara penyedia capaian sistem aplikasi Kerajaan Elektronik (EG) terbaik dunia, mengikut kajian yang dijalankan sebuah universiti Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pengurus Kanan (Telekesihatan & EG) Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDEC), Gayah Gulam Haidar, berkata kedudukan itu diperoleh dari kajian yang dilaksanakan Universiti Brown, Rhode Islands, Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kajian yang membabitkan 198 negara itu dibuat berdasarkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana saja melalui internet.

Selain itu, katanya perkhidmatan EG yang ditawarkan adalah menyeluruh membabitkan semua agensi kerajaan dan boleh dilayari secara percuma.

"Dalam kajian itu, negara yang mencatat kedudukan sistem aplikasi EG terbaik dunia ialah Korea Selatan, Kanada (tempat kedua) dan Singapura (tempat ketiga).

"Kajian yang sama sebelum ini, meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-36 pada 2006 dan 157 (2005).

"Kami mensasarkan menduduki tangga antara 10 terbaik dunia, tahun depan menerusi pelbagai program bagi meningkatkan mutu perkhidmatan laman web kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis promosi Kerajaan Elektronik di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Kerajaan Elektronik, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Dr Zakaria Abd Hadi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Muhammad Yusoff Wazir.

Promosi EG di negeri ini bermula semalam hingga Ahad ini, membabitkan tujuh agensi iaitu Mampu, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kerajaan negeri.

Ia bertujuan meningkat kesedaran orang ramai mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti mendapatkan maklumat, kemudahan untuk muat turun borang dan perkhidmatan dalam talian kerajaan.

Sementara itu, Dr Zakaria berkata EG yang juga satu daripada aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada Julai 1997, adalah saluran utama kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya harap menerusi promosi berterusan ini, lebih ramai rakyat menggunakan kemudahan ini yang lebih mudah, berkesan dan menjimatkan masa.

"Dijangka usaha ini yang menggurangkan penggunaan kertas dapat dilaksanakan secara menyeluruh pada 2010," katanya.

0 comments: