439,255 calon duduki SPM mulai 12 Nov.

PUTRAJAYA 9 Nov. – Sebanyak 439,255 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan itu di 3,913 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 12 November hingga 6 Disember ini.

Daripada jumlah tersebut, 386,265 calon atau 87.9 peratus adalah dari sekolah Kementerian Pelajaran, 14,672 calon (3.3 peratus) dari sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 10,687 calon (2.4 peratus) dari sekolah swasta manakala 27,631 calon (6.3 peratus) adalah calon persendirian.

Dala kenyataan Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pelajaran yang dikeluarkan hari ini mengingatkan setiap calon supaya merujuk kepada jadual waktu peperiksaan terkini untuk mengetahui butiran tentang masa, peringatan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa mengambil peperiksaan.

‘‘Mereka juga dikehendaki membawa kad pengenalan pada setiap masa sama ada di dalam bilik atau dewan bagi menjamin pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Peperiksaan juga mengingatkan calon supaya bersedia dan membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala untuk sampai ke tempat peperiksaan.

Pada masa yang sama, katanya, calon-calon diminta sentiasa peka dan mengikut perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan akibat banjir.

0 comments: