Syor ambil alih Taska di Kelantan

UMNO Kelantan mencadangkan kerajaan mengambil alih pengurusan taman asuhan kanak-kanak (Taska) bagi memelihara anak Kelantan daripada terus dihasut dan dididik sifat kebencian dan antikerajaan, selain menyediakan tahap pelajaran yang lebih baik dan diiktiraf.

Sambil menyelar kerajaan Pas yang menggunakan jenayah terancang serta menghalalkan pelbagai cara untuk kepentingan parti pembangkang itu, wakil Kelantan, Annuar Safian, berkata Pas ‘menganiaya' anak Kelantan kerana sistem pendidikan yang diamalkan di negeri itu tidak mengikut piawaian ditetap kerajaan.

"Kerajaan Pas sedang melahirkan anak muda yang tidak berdosa dengan menanam bibit kebencian dan ekstrem agama sejak pendidikan awal. Demi menjaga anak-anak ini, kita cadangkan Kementerian Pelajaran mengambil alih Taska milik Pas supaya dapat disediakan tahap pelajaran lebih baik.

"Jenayah terancang juga berlaku dalam sistem pendidikan di Kelantan yang enggan menyerahkan pengurusan Sekolah Agama Rakyat kepada kerajaan Pusat kerana bimbang akan melemahkan pengaruh politik mereka.

"Lebih-lebih lagi guru yang mengajar juga tidak mencapai piawaian ditetapkan,” katanya ketika membahaskan usul agama dan sosial.

Beliau berkata, kerajaan Pas sombong dan bongkak apabila bersikap angkuh terhadap projek pembangunan yang diilhamkan kerajaan Pusat untuk membantu membangunkan ekonomi negeri itu seperti projek Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER).

0 comments: