‘Saya pantang dicabar’ -- Amaran PM kepada penganjur perhimpunan haram di KL hari ini

Oleh: ZULKEFLI HAMZAH


AMARAN...Reaksi Abdullah Ahmad Badawi ketika menyentuh isu keselamatan negara pada ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2007 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar HALIM KHALID.

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada penganjur perhimpunan tanpa permit di ibu negara esok supaya jangan berdegil mahu meneruskannya.

Katanya: “Saya pantang dicabar.”

Perdana Menteri menegaskan perhimpunan haram itu yang merupakan ‘demokrasi jalanan’ bukannya mencabar kerajaan dan kepimpinan beliau, sebaliknya satu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, tindakan itu bukan amalan demokrasi rakyat negara ini yang menghormati undang-undang dan mengamalkan demokrasi menerusi proses pilihan raya.

“Saya dukacita. Apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan? Sebenarnya yang mereka cabar, yang mereka hendak ketepikan adalah undang-undang.

“Mereka mencabar undang-undang dan peraturan. Mereka mencabar rakyat kerana rakyat mahu supaya negara ini aman, selamat dan stabil sepanjang masa. Itu yang dicabar, bukan saya.

‘‘Tetapi saya kata saya pantang dicabar,” tegas Abdullah ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Presiden UMNO itu merujuk kepada perhimpunan yang dirancang oleh Bersih, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, di Dataran Merdeka esok kononnya untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri melahirkan kekhuatiran perhimpunan yang tidak mendapat permit polis itu mengundang kekacauan seperti yang berlaku di Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata, kebiasaannya apabila ada pihak yang mengingkari larangan polis, akan berlaku sesuatu yang tidak diingini termasuk kekacauan.

“Tengoklah apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini... saudara ingat, saya pun ingat. Tak payahlah kita peringatkan lagi.

“(Ia) satu kejadian yang tak dapat kita terima. Satu kejadian yang liar. Bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara amalan demokrasi Malaysia. Amalan demokrasi jalanan kita tak dapat terima langsung. Bukan itu caranya nak buat perubahan,” jelasnya.

Abdullah menegaskan, apabila mereka melanggar peraturan, polis terpaksa bertindak sekali gus menimbulkan kekacauan dan akhirnya pihak berkuasa yang akan dipersalahkan.

“Bila polis suruh berhenti, berlakulah apa-apa yang tak diingini. Mereka pun lari merata tempat.

“Biasanya masuk dalam kedai, rempuh sana, rempuh sini, jadi akan menyebabkan macam-macam berlaku... lepas tu marah kepada polis, (dan mendakwa) ini polis punya hal, supaya orang benci kepada polis kerana tindakan polis.

“Tapi sebenarnya mereka yang menyebabkan semua ini berlaku, bukan polis,” jelasnya.

Perdana Menteri menambah, jika benar kumpulan itu ingin membawa perubahan, mereka harus mengikut jalan yang betul iaitu menerusi pilihan raya.

“Perubahan apa yang nak dibawa? Tunggu dalam pilihan raya, kita sama-sama hadapi tengok siapa yang menang. Apa nak takut pilihan raya?” katanya.

Abdullah berkata, jika benar pilihan raya yang diadakan sebelum ini tidak adil dan dikawal oleh kerajaan, sudah tentu parti pembangkang tidak akan berpeluang untuk memenangi walaupun satu kerusi.

“Kalau nak persoalkan keadilan SPR, adakah pembangkang tidak menang? Ada. Kelantan dah berapa kali, di Terengganu pun, di Sabah pun begitu juga. Mereka boleh me

nang. Kalau kita control (kawal) semua, tak ada harapan boleh menang,” kata Perdana Menteri.

Menurutnya, berdasarkan kekalahan dan kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya lalu, ia membuktikan UMNO dan BN menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak memerintah.

“Orang Kelantan tak mahu kita (BN) dah berapa belas tahun dah. Apa boleh buat. Pasal kita menghormati keputusan pilihan raya. Inilah Suruhanjaya Pilihan Raya yang ada selama ini, Suruhanjaya Pilihan Raya itulah (yang sama sekarang),” katanya.

Perdana Menteri berkata, UMNO dan BN menghormati keputusan rakyat pada setiap kali pilihan raya sama ada ketika menang atau kalah tetapi sebaliknya pembangkang pula menjadikan amalan untuk menyalahkan SPR apabila mereka berasa tidak ada peluang untuk menang.

Katanya, UMNO dan BN tidak pernah lari daripada menghadapi pilihan raya atau mencari sebab untuk tidak mengadakan pilihan raya.

Katanya, beliau dan kerajaan BN pimpinannya tidak gentar untuk menghadapi pilihan raya dan akan mengadakan proses demokrasi itu apabila tiba masanya.

“Kita rela untuk menghadapi pilihan raya bila tiba masanya,” tegas beliau.

Abdullah turut meminta rakyat agar menolak golongan yang cuba menjadi jaguh kepada demokrasi jalanan itu iaitu dengan tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya selepas Perhimpunan Agung UMNO 2007 berakhir, Perdana Menteri tidak yakin demokrasi jalanan itu akan diadakan secara aman memandangkan ia tidak mendapat permit polis.

‘‘Selama ini, mana ada perhimpunan seperti itu diadakan secara aman. Terpulang kepada polis yang telah terlatih untuk mengambil tindakan. Jika mereka tetap mengadakan perhimpunan, polis akan minta mereka bersurai,’’ ujarnya.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kebebasan berhimpun dijamin dalam Perlembagaan, Perdana Menteri berkata, ia harus melibatkan kebebasan semua pihak dan bukannya satu kumpulan tertentu sahaja.

‘‘Kita juga kena memikirkan kebebasan pekedai-pekedai yang hendak berniaga dan rakyat biasa hendak pergi ke sana dan ke sini tanpa gangguan. Kebebasan mestilah yang tidak membawa kesusahan kepada orang lain,’’ jelasnya.

Ditanya mengenai budaya demonstrasi luar negara yang kelihatan mula menular di negara ini, beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat boleh meluahkan rasa tidak berpuas hati menerusi pilihan raya.

‘‘Kalau mereka nak buat perubahan, pilihan raya adalah masanya dan pihak SPR juga telah menerima pelbagai permintaan pembangkang termasuk penggunaan kotak yang telus dan dakwat di jari pengundi,’’ katanya.

Abdullah berkata, dakwaan kononnya perhimpunan diadakan kerana tiada kebebasan di negara ini juga tidak berasas kerana pembangkang kini boleh bercakap apa sahaja mengenai diri beliau tanpa sekatan melalui blog, buletin, buku dan akhbar-akhbar nyamuk.

Tambahnya, mana-mana pihak juga tidak seharusnya menyamakan sebarang tindakan polis terhadap mereka yang berdemonstrasi esok dengan apa yang berlaku di Myanmar.

‘‘Malaysia bukan Myanmar. Saya tidak fikir ia akan berlaku seperti yang terjadi di negara itu,’’ tegasnya.

0 comments: