Singapura rumus Pulau Batu Putih miliknya

Daripada: NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 9 Nov. – Singapura hari ini mengakhiri pusingan pertama hujah lisannya dengan rumusan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik republik itu bersandarkan dakwaan bahawa Malaysia gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa Johor adalah pemilik pulau tersebut.

Republik itu juga berpegang kepada surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953 yang menyatakan bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih untuk menguatkan lagi hujah mereka.

Turut menyokong pembentangan Singapura selama empat hari di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini ialah siri enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia sebelum tahun 1979 yang menurut mereka jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Selain Pulau Batu Putih, Singapura mempertahankan Middle Rocks dan South Ledge berdasarkan kedudukan kedua-dua pulau itu yang termasuk di perairan Pulau Batu Putih menjadikannya gugusan pulau tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, S. Jayakumar ketika menggulung hujah bagi pihak republik itu memberitahu mahkamah, Singapura juga telah membuktikan pentadbiran berkesan (effectivites) di Pulau Batu Putih dengan menjalankan pelbagai aktiviti baik berupa penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran dan penyelenggaraan Rumah Api Horsburgh sejak tahun 1851.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mendakwa surat bertarikh 21 September 1953 itu tidak boleh dijadikan model untuk menjelaskan pendirian kerajaan negeri Johor namun Jayakumar percaya ia amat jelas untuk menggambarkan bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor.

“Apa lagi yang lebih jelas daripada 10 perkataan ini (merujuk kepada isi kandungan surat tersebut),” katanya.

Mahkamah turut diberitahu mengenai ketiadaan bantahan di pihak kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor terhadap pentadbiran berkesan Singapura di pulau itu juga secara jelas menunjukkan bahawa ia bukan milik Malaysia.

Hujah tersebut dijadikan asas kukuh untuk membuktikan bahawa Malaysia tidak memiliki Pulau Batu Putih pada bila-bila masa baik sebelum tahun 1847 hingga 1851 (selepas rumah api di situ siap) dan sehingga sekarang.

Prof. Alain Pallet semasa membentangkan hujah-hujahnya membangkitkan isi kandungan surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh yang didakwa bukti jelas bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Malaysia.

Beliau memberitahu mahkamah, sebelum daripada surat itu, British pada 12 Jun 1953 telah menghantar surat kepada kerajaan negeri Johor bagi mendapatkan kepastian antara lain mengenai;

Status Pulau Batu Putih kerana ia relevan untuk menentukan sempadan perairan wilayah koloni;

Memastikan Pulau Batu Putih terletak di luar wilayah jajahan Johor pada tahun 1824;

Pallet mendakwa, terma-terma dalam surat tersebut membuktikan bahawa Singapura sedar ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dan jawapan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bahawa ia tidak menuntut hak milik ke atas pulau tersebut mengesahkan lagi status itu.

“Bagi sesebuah negeri untuk tidak menuntut hak ke atas sebuah pulau samalah tidak menuntut kedaulatan ke atasnya,” kata Pallet.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa surat yang dihantar oleh British kepada kerajaan negeri Johor merujuk kepada status Pulau Batu Putih dan bukannya status Rumah Api Horsburgh seperti yang didakwa oleh Malaysia dalam Memorialnya.

Pallet kemudian berhujah panjang lebar mengenai surat tersebut yang menurutnya dihantar oleh British bertujuan menentukan sempadan perairan Pulau Batu Putih justeru dakwaan Malaysia bahawa ia merujuk kepada rumah api amat tidak relevan.

Ini kerana, katanya, rumah api sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan penentuan sempadan perairan malah jawapan yang terkandung di dalam surat tersebut dibuat selepas merujuk kepada Suruhanjaya Tanah dan Pengarah Ukur ketika itu.

Sementara itu, Peguam Rodman R. Bundy pula menyentuh tentang sistem rumah api di perairan Negeri-Negeri Selat yang didakwanya tidak terpakai dalam kes Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih.

Beliau mendakwa, adalah menjadi amalan di bawah sistem tersebut, mana-mana pihak (dalam kes ini British) yang ingin membina rumah api di mana-mana pulau perlu mendapat kebenaran daripada pemerintah pulau tersebut.

Bundy kemudiannya menjelaskan secara panjang lebar bagaimana British menulis surat kepada Sultan Johor pada tahun 1900 mengenai niatnya untuk membina rumah api di Pulau Aur.

Beliau berkata, Sultan Johor yang mengizinkan British berbuat demikian memberitahu urusan membina rumah api itu adalah sama seperti di Pulau Pisang tanpa membuat sebarang rujukan kepada Pulau Batu Putih.

Mahkamah kemudian diberitahu, kecacatan paling jelas di pihak Malaysia ialah kegagalan mengemukakan sebarang dokumen bertulis (dalam kes Pulau Pisang kerajaan negeri mengeluarkan geran tanah) untuk membuktikan bahawa kebenaran yang sama dikeluarkan untuk pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih.

Peguam Loretta Malintoppi pula menarik perhatian mahkamah mengenai enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia sebelum tahun 1979 yang secara jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Sambil merujuk kepada siri peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan Malaysia, beliau berkata, di peta itu tertera perkataan Pulau Batu Putih, Horsburgh (SINGAPURA) dan ia diguna pakai secara berterusan sehinggalah peta baru dikeluarkan pada tahun 1979.

Beliau mempersoalkan dakwaan Malaysia dalam memorialnya bahawa perkataan Singapura itu merujuk rumah api Horsburgh adalah milik republik itu dan bukannya Pulau Batu Putih.

Malintoppi kemudiannya membandingkan nama Pulau Pisang (Singapura juga mentadbir rumah api di pulau itu) yang tidak dimasukkan perkataan Singapura dan Pulau Tekong yang diikuti dengan perkataan Singapura sama seperti Pulau Batu Putih.

Persidangan berlangsung di Peace Palace di hadapan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Selasa depan Malaysia yang diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad akan memulakan pusingan pertama hujah lisan bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih.

Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin bertindak sebagai agen bersama.

– Utusan

0 comments: