UTM berazam baiki kedudukan

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baru disenaraikan oleh Times Higher Education Supplement (THES) sebagai universiti ke-415 terbaik di dunia tahun ini, berazam untuk memperbaiki kedudukan pada masa depan.

Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali berkata, walaupun bukan sebuah universiti komprehensif iaitu tidak menawarkan pelbagai bidang kursus, UTM bangga kerana berjaya disenaraikan sebagai antara 520 institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dunia oleh THES.

Katanya, jika dilihat pada statistik badan penyelidikan kedudukan universiti dunia Webometrics juga, angka 415 dikira satu kedudukan yang membanggakan daripada 13,074 IPT terbaik dunia yang disenaraikan badan itu.

“Memang 415 itu adalah ranking yang masih jauh daripada 200 universiti teratas dunia namun ia satu pengiktirafan sekali gus memberi peluang kepada UTM pergi lebih jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman THES mengenai senarai universiti terbaik dunia 2007 yang turut menyenaraikan lima IPT Malaysia sebagai antara 520 yang terbaik.

Bagaimanapun, tidak ada satu pun universiti tempatan tersenarai antara 200 yang teratas.

Penyelidikan bagi kedudukan tersebut dijalankan oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta Britain bagi pihak THES.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pula semalam mahu IPT tempatan melipatgandakan usaha untuk menambah baik prestasi institusi masing-masing agar tergolong di kalangan universiti cemerlang dunia.

Mohd. Zulkifli berkata, selain UTM, IPT lain yang disenaraikan oleh THES sebelum ini ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, penyenaraian itu bermakna UTM juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam melahirkan graduan yang berkualiti terutamanya di bidang kejuruteraan.

“UTM tidak ada kelebihan sebagai sebuah universiti penyelidikan seperti yang lain tetapi kita melihat penyenaraian ini sebagai satu kepuasan hasil kerja kuat untuk menjadi yang terbaik di dunia,” katanya.

Tambah beliau, UTM sedang mengatur strategi dengan mengambil lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar antarabangsa yang kini berjumlah masing-masing 890 dan 114 orang supaya mencapai matlamat menjadi universiti bertaraf dunia yang lebih baik.

‘‘UTM juga sedang berusaha menjadi sebuah universiti komprehensif yang akan menawarkan pelbagai kursus lain selain kejuruteraan bagi membolehkan ia mencapai kedudukan teratas selepas ini,’’ katanya.

Penyenaraian universiti terbaik dinilai berdasarkan lima kategori yang ditetapkan oleh THES iaitu bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat, kesenian dan kemanusiaan, sains kemanusiaan dan bioperubatan serta sains semulajadi dan sains sosial.

Dalam hal ini, UTM hanya dinilai berdasarkan beberapa kategori antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat dan sains semulajadi memandangkan ia tidak menawarkan bidang-bidang lain.

Utusan Malaysia difahamkan THES menyenaraikan UM pada kedudukan 246, turun daripada tangga 192 tahun lepas dan UKM berada pada tangga 307 tahun ini daripada 185 sebelumnya.

USM yang tahun lepas berada di kedudukan 277, merosot ke tangga 307 tahun ini manakala UPM pula jatuh dari tangga 292 ke 364.

0 comments: