Puteri cadang tubuh Jabatan Mufti Negara

PUTERI Umno mencadangkan penubuhan Jabatan Mufti Negara yang bertindak sebagai pusat rujukan dan pembuat keputusan supaya wujud kesepakatan dalam hal berkaitan agama Islam.

Wakil Puteri Umno, Kama Noriah Ibrahim, juga memohon semua mufti bertindak proaktif dan bersatu dalam hal membabitkan kepentingan ummah.

Mengenai masalah sosial di negara ini, Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Terap itu mahu supaya kerajaan mengawal kemasukan PADI (Pendatang Asing Dengan Izin).

"Setiap pekerja asing dibawa masuk dan ingin berkhidmat di Malaysia wajib diberi latihan dan kursus serta dikeluarkan sijil piawaian yang mengesahkan keupayaan berkhidmat sebelum diserap ke sektor tertentu," katanya ketika membahaskan usul agama dan sosial.

Beliau berkata, usaha itu diharap dapat mengawal tingkah laku dan budaya asing yang tidak sesuai di negara ini.

"Selain itu, satu tempoh khas perlu diberi bagi setiap majikan menilai pekerja yang diambil supaya pelaburan mereka berbaloi dan mendapat pekerja yang layak dan beretika," katanya.

Kama Noriah juga menyarankan supaya peranan Rukun Tetangga dan Rela bukan saja membabitkan taman perumahan di bandar, malah kampung juga perlu diberi perhatian.

0 comments: