Individu sertai perhimpunan haram boleh ditangkap

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Sesiapa yang menyertai perhimpunan haram yang dirancang oleh kumpulan tertentu di Dataran Merdeka di sini esok, dianggap melakukan kesalahan dan boleh ditangkap, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin (gambar).

Susulan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke Dataran Merdeka esok kerana perhimpunan haram itu tidak mendapat permit polis.

“Orang awam juga dinasihatkan seboleh-bolehnya tidak memakai baju berwarna kuning kerana penganjur perhimpunan menjalankan kempen untuk para penunjuk perasaan dalam perhimpunan haram mengenakan pakaian berwarna kuning.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan antara peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu dengan orang awam,” katanya kepada Radio24 hari ini.

Penganjur perhimpunan, yang mengelar diri sebagai “BERSIH” sebelum ini meminta orang ramai yang menyertai perhimpunan pukul 3 petang itu memakai pakaian berwarna kuning sebelum berarak ke Istana Negara.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu kerana ia dijangka berkemungkinan mencetuskan kekecohan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, walaupun ada yang mendakwa ia perhimpunan aman, namun polis meragui tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan.

– Bernama

0 comments: