Bekalan buku teks untuk 5.7 juta pelajar cukup

Oleh Hussain Said

SEREMBAN: Kementerian Pelajaran memberi jaminan bekalan buku teks percuma kepada 5.7 juta pelajar di seluruh negara mencukupi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran sebaik sesi persekolahan 2008 dibuka pada 2 dan 3 Januari depan berjalan lancar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim, berkata segala persiapan bagi mencetak buku membabitkan kos tambahan RM128 juta sedang giat dijalankan oleh penerbit buku teks dilantik.

Beliau berkata, Bahagian Buku Teks (BBT) kementerian juga sudah mengadakan pertemuan dengan semua penerbit bagi memastikan kelancaran proses percetakan sehingga pengedarannya ke semua sekolah.

"Kita yakin tidak berdepan masalah membekalkan buku teks percuma kepada semua pelajar kerana kira-kira 20 peratus pelajar yang tidak mendapat Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sebelum ini adalah pelajar di bandar.

"Hampir 100 peratus pelajar di luar bandar memperoleh buku teks percuma. Jadi, jika ada kekurangan bekalan pun ia boleh diatasi dengan menempah dan mengambil buku yang dijual di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Rumah Pangsa Templer, di Jalan Tun Dr Ismail, di sini semalam.

Pada pembentangan Bajet 2008, kerajaan mengumumkan keputusan memperluaskan SPBT kepada semua murid tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat mulai 1 Januari depan.

Keputusan itu sekali gus akan dapat memanfaatkan 5.7 juta pelajar di seluruh negara berbanding 4.5 juta pelajar sebelum ini yang mendapat SPBT dengan kos tambahan RM128 juta.

Kementerian sebelum ini membelanjakan RM170 juta hingga RM190 juta setahun untuk membiayai skim berkenaan, terutama bagi menggantikan buku teks rosak.

Hon berkata, pihaknya akan meminta BBT menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berkala di kilang-kilang bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah yang boleh menjejaskan proses percetakan dan pengedaran buku berkenaan ke semua sekolah.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan pengedaran buku berkenaan dapat dibuat mengikut jadual ditetapkan sekali gus membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar sebaik sesi persekolahan dibuka.

"Kita mahu pastikan setiap masalah dapat diatasi lebih awal bagi mengelakkan situasi kelam kabut sebaik sesi persekolahan dibuka. Justeru, sebarang masalah yang dikenal pasti harus diselesaikan segera," katanya.

0 comments: