GLC disaran bentang laporan

SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) disaran membentangkan laporan rancangan syarikat setiap enam bulan bagi membolehkan syarikat Bumiputera lain berkongsi hala tuju dan wawasannya.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Mohamed Alattas, berkata perkara itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan wakil perniagaan Bumiputera duduk semeja membincangkan peluang dalam pelbagai sektor membabitkan penyertaan GLC.

“Kita menyedari pengaruh yang dimiliki GLC pada hari ini semakin diperlukan syarikat Bumiputera lain yang sedang mencari tapak dalam dunia perniagaan,” katanya di sini, semalam.

Rabu lalu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2007 meminta GLC menjuarai usaha membantu meningkatkan kredibiliti syarikat dan individu Bumiputera.

Perdana Menteri berkata, GLC perlu memainkan peranan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Syed Ali berkata, GLC kini memainkan peranan sebagai jentera ekonomi kerajaan yang bukan saja membantu meningkatkan taraf hidup Bumiputera tetapi mengembangkan peluang perniagaan kepada syarikat Bumiputera.

Beliau menegaskan, perkara itu dilihat dapat menyokong pertumbuhan pembabitan syarikat Bumiputera yang masih kurang dalam beberapa sektor perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir, berkata kewujudan GLC bukan untuk merampas harta bukan Melayu tetapi lebih kepada meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam bidang perniagaan.

Beliau menegaskan, GLC juga perlu membawa syarikat Bumiputera tempatan mengembangkan operasi mereka ke luar negara bagi meningkatkan keupayaan dan kredibiliti mereka di peringkat global.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mohd Mahiyuddin Abdullah, pula berkata sudah sampai masanya GLC melihat semula kepada agenda membangun usahawan Bumiputera dengan merangka perancangan khas memperkasakan golongan itu menerusi penyediaan peluang perniagaan seluas mungkin.

0 comments: