Terkeluarnya universiti dari senarai 200 terbaik dunia

* UKM pandang serius
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandang serius kejatuhannya dalam kedudukan penarafan Times Higher Education Supplement (THES) tahun ini.

Bagaimanapun, Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Sharipah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menegaskan bahawa kejatuhan itu tidak mencerminkan profil, pencapaian dan prestasi mahupun kualiti sebenar universiti itu.

Menurutnya, kejatuhan dalam kedudukan dalam penarafan THES juga tidak semestinya bermaksud pencapaian atau prestasi UKM telah jatuh.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mengulas senarai THES 2007 yang menunjukkan UKM dan Universiti Malaya (UM) terkeluar dari senarai 200 universiti terbaik di dunia.

Dalam senarai penarafan terbaru THES ini, UKM jatuh ke tangga 309 daripada 185 pada tahun lalu manakala UM jatuh ke tangga 246 daripada 192.

Sharipah Habsah berkata, sebab utama kejatuhan penarafan institut pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia pada tahun ini ada dijelaskan oleh THES dalam laman web mereka.

Menurutnya, THES menganggap kejatuhan IPTA Malaysia sedikit sebanyak akibat perubahan metodologi penarafan yang digunakan THES yang tidak menyebelahi Malaysia.

Dalam hal ini, ujarnya, satu daripada faktor utama (yang juga diakui sebagai QS-THES) yang menjejaskan penarafan IPTA Malaysia adalah profil mereka dalam pangkalan data jurnal Thomson ISI dan juga Scopus.

‘‘Namun, UKM berpendapat, penarafan itu merupakan satu alat berguna untuk penambahbaikan tetapi bukan sebagai pengukur mutlak sesebuah institusi.

‘‘Sebagai alat penambahbaikan kualiti, penarafan tahun ini mengesahkan, dalam beberapa pengukur kritikal seperti penerbitan dan petikan dalam jurnal berimpak tinggi, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan,’’ katanya.

Sharipah Hapsah berkata, UKM sedar kedudukan sesuatu institusi akan berubah dari setahun ke setahun dan penambahbaikan akan mengambil masa untuk mencapai keputusan yang diharapkan.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim dalam kenyataan media hari ini, melahirkan rasa hampa dengan kejatuhan kedudukan UM.

Menurutnya, UM akan melakukan analisis terhadap metodologi THES dan akan menyemak semula pelan strategik sedia ada jika perlu kerana ia telah memberi kesan yang negatif terhadap kedudukan universiti itu.

0 comments: