Seri Paduka cekal harungi cabaran

Oleh Hamid Salleh

Tenang tunggang Hamene Cairo

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mendapat tepukan gemuruh penonton sebaik saja baginda memulakan cabaran dalam Kejohanan Endurance Piala Sultan Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu, petang semalam.

Seri Paduka yang menunggang 'Hamene Cairo' berusia 12 tahun berlepas tepat jam 4.30 petang untuk menghadapi cabaran sejauh 160 kilometer bersama 37 peserta lain, termasuk 19 peserta luar negara.

Baginda yang memakai baju bernombor 101 begitu tenang menunggang kuda bagi menamatkan masa tunggangan selama dua jam sebelum kembali ke garisan penamat.

Hujan lebat selepas setengah jam acara pelepasan yang dilakukan Menteri Besar, datuk Seri Idris Jusoh, tidak menghalang peserta untuk meneruskan cabaran dalam kejohanan itu yang dijangka berakhir kira-kira jam 11 pagi ini.

Dua peserta luar negara, Leonard Liesens dari Belgium dan Essai Ahmed Al Mannai dari Qatar terpaksa menarik diri di saat akhir semalam.

Seramai 38 penunggang dari 14 negara, termasuk jaguh endurance dunia yang memegang ranking pertama dan kedua, Jack Begaud (Perancis) dan Maria Mercedes Alvarez Ponton (Sepanyol) menyertai kejohanan itu yang menjadi acara pemanas badan sebelum Kejohanan Endurance Dunia FEI di gelanggang sama, tahun depan.

Antara negara yang menyertai kejohanan kali ini adalah Argentina, Brazil, Amerika Syarikat, Jepun, Sepanyol, Itali, Belgium, Portugal, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Afrika Selatan, Australia dan penunggang negara.

0 comments: