Turki terdesak - Tunggu keputusan AS untuk lancar serangan

DIYARBAKIR, Turki 22 Okt. – Kerajaan Turki menghadapi tekanan hebat daripada rakyat hari ini untuk melancarkan serangan ke utara Iraq bagi menghancurkan pemberontak Kurdis yang beroperasi dari sana selepas mereka membunuh 17 askar Turki.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau bersetuju memberi tempoh beberapa hari kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membuat keputusan berhubung langkah yang perlu diambil ekoran insiden tersebut.

Washington mahu mencegah sebarang tindakan ketenteraan oleh Turki di utara Iraq bagi mengelak situasi di negara tersebut menjadi bertambah buruk.

Recep telah memaklumkan Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice bahawa beliau mahu Washington mengambil “langkah-langkah segera” ke atas pemberontak Kurdis itu.

Serangan kelmarin adalah yang paling dahsyat dilancarkan oleh Parti Pekerja Kurdis (PKK) dalam tempoh lebih sedekad.

Ia berlaku empat hari selepas Parlimen Turki dengan sebulat suara meluluskan usul untuk membenarkan askar Turki memasuki utara Iraq bagi menghancurkan gerila itu.

Ankara menganggarkan 3,000 pemberontak PKK berpangkalan di utara Iraq untuk menuntut autonomi di tenggara Turki.

Tentera Turki telah menempatkan 100,000 askar dengan bantuan kereta kebal dan helikopter penggempur di kawasan sempadan.

– Reuters

0 comments: