Program angkasa lepas bukan pembaziran: PM

IPOH: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk program angkasawan bukan satu pembaziran kerana banyak faedah diperoleh rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, pembabitan dalam industri angkasa lepas juga antara pendekatan yang dilaksanakan kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Belanja besar (untuk program itu) bukan bermakna ia satu pembaziran. Kita ada wang dan kemampuan. Wang masih ada untuk menjalankan projek serta program yang akan membawa kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi di sini, semalam. Kompleks bernilai lebih RM5 juta itu yang mula dibina pada 2005, merangkumi Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Ipoh, stadium mini dan gerai berhawa dingin.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Abdullah berkata, kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, juga bukan yang terakhir, tetapi permulaan ke arah Malaysia yang lebih gemilang pada masa depan.


"Dr Sheikh Muszaphar mencetuskan minat rakyat terhadap program angkasa lepas yang sebelum ini tidak begitu banyak diketahui. Lebih penting kajian yang dijalankannya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), seperti sel kanser turut mendapat perhatian negara maju termasuk Jepun dan Eropah," katanya.

Beliau berkata, walaupun Malaysia bukan dalam kelompok negara maju yang terlebih dulu menerokai angkasa lepas seperti Russia dan Amerika Syarikat, ia berjaya menyaingi dan mendahului negara lain di rantau ini.

Kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang membawa Dr Sheikh Muszaphar dan dua lagi angkasawan Russia, mendarat di bandar Arkylk, Kazakhtsan pada jam 6.37 petang kelmarin waktu Malaysia.

Di MOSCOW, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata calon kedua angkasawan negara, Dr Faiz Khaleed, 27, dinaikkan pangkat daripada Kapten kepada Mejar berkuat kuasa serta-merta.

Dr Faiz, yang masih bertugas dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dipinjamkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak program angkasawan dimulakan, juga dilantik sebagai ikon Program Angkasawan Negara.

Najib berkata, Dr Faiz akan dipertanggungjawabkan mengatur pelbagai program bagi meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang aeroangkasa dan penguasaan teknologi.

"Sebagai penghargaan kerajaan kepada keupayaan beliau melalui proses latihan dan lulus dengan cemerlang, Dr Faiz dilantik sebagai ikon Program Angkasawan Negara dan akan mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi.

"Untuk itu, sesudah mendapat cadangan daripada Panglima Angkatan Tentera, saya dengan ini bersetuju dan mengumumkan kenaikan pangkat Kapten Dr Faiz kepada Mejar," katanya sambil menambah itulah kali pertama beliau mengumumkan kenaikan pangkat seorang pegawai tentera di luar negara.

Najib membuat pengumuman itu ketika berucap dalam satu majlis jamuan dengan sekumpulan pelajar Malaysia di hotel penginapannya di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau turut mengumumkan Mejar Dr Faiz adalah calon untuk mengikuti misi kedua ke ISS pada akhir 2010 atau awal 2011.

Sementara itu, Dr Faiz berkata, tempoh perkhidmatannya dengan kementerian itu akan dipanjangkan apabila beliau dilantik sebagai ikon dan mengikuti program latihan untuk misi kedua pada akhir 2010 atau awal 2011

0 comments: