Majlis khas rai Sheikh Muszaphar di Parlimen

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang selamat kembali ke Bumi selepas 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di Moscow semalam akan diraikan pada satu majlis khas di Parlimen.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, sambutan itu bertujuan menghargai kejayaannya yang menempa sejarah negara dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

‘‘Kita telah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib untuk menjadi tuan rumah kepada semua anggota Parlimen bagi meraikan angkasawan pertama kita.

‘‘Kalau boleh, kita mahu beliau (Sheikh Muszaphar) menjadi tetamu pertama kita sekembalinya dari Moscow selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu. Tahniah diucapkan kepada beliau kerana berjaya mengharumkan nama negara,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa Sheikh Muszaphar bersama dua lagi angkasawan iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov, mendarat di Arkylk, Kazakhstan semalam pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas melalui perjalanan 3 jam 23 minit dari ISS.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis untuk membolehkan Parlimen menjadi tuan rumah pertama meraikan Sheikh Muszaphar sekembalinya dari Rusia nanti.

0 comments: