BPR hadap 10 ke mahkamah



TIMBALAN Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed

6 pegawai JKM, 2 KBS didakwa susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR: Sepuluh orang termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dua dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR), dipercayai berkaitan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam.

Semua yang ditahan itu dijangka didakwa mengikut Akta Pencegah Rasuah 1967 di Mahkamah Sesyen di Kelantan, Pahang dan Sabah, hari ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, dua pegawai KBS dan dua individu lain, masing-masing pakar perunding dan kontraktor, ditahan di ibu negara semalam berhubung penyediaan peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Kelantan membabitkan kerugian RM8.39 juta. Keempat-empatnya dikatakan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.


Enam pegawai JKM pula ditahan kerana disyaki menyelewengkan pengagihan peruntukan bantuan kebajikan. Seorang pegawai terbabit dikatakan akan didakwa di mahkamah Raub dan lima lagi di Kota Kinabalu hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed (gambar)ketika dihubungi mengesahkan penahanan 10 individu terbabit, tetapi enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, BPR akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini berhubung siasatan berkaitan salah urus dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.


Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan sentiasa memberi bantuan dan kerjasama dalam siasatan BPR.

"Daripada mula perkara itu dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006, saya sudah arahkan kementerian memberi bantuan dan sokongan 100 peratus kepada BPR dalam menjalankan siasatan. Kita galakkan siasatan dilakukan, apa-apa tindakan BPR kita sokong... kita tak akan sembunyikan apa-apa fakta," katanya.

Laporan audit yang dibentangkan 7 September lalu antara lain mendedahkan kelemahan beberapa kementerian dan jabatan dalam mengurus dana awam, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan IKBN pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran hingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ia juga mendedahkan pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

KBS turut didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata, pihaknya sudah hampir selesai menjalankan siasatan berhubung laporan audit itu dan beberapa individu dijangka dikenakan tindakan dalam masa terdekat.

Pada 13 September lalu, Pengarah JKM Pahang, Datuk Bakar Mamat dilaporkan berkata,

JKM Pahang dalam proses mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya di Raub dan Bentong yang terbabit dalam kegiatan rasuah kerana menipu jabatan itu membabitkan wang tunai berjumlah RM113,044.

Kes mengejutkan itu berlaku apabila pejabat JKM Raub mengeluarkan bantuan kebajikan berjumlah RM101,765 kepada 33 penerima dan RM11,279 lagi dikeluarkan JKM Bentong kepada penerima yang sudah meninggal dunia.

0 comments: