Tujuh daerah diisytihar darurat - * Kebakaran: Bintang Hollywood tinggalkan kediaman


RUMAH dan kereta di kejiranan Camp Plenty Road, Mukim Canyon musnah dijilat api dalam kebakaran, kelmarin. – AP.

LOS ANGELES 22 Okt. – Gabenor California, Arnold Schwarzenegger mengisytiharkan darurat di tujuh daerah di negeri ini akibat ancaman kebakaran hutan yang meragut sekurang-kurangnya satu nyawa dan mencetuskan pemindahan beramai-ramai di kalangan penduduk.

“Gabenor Schwarzenegger malam tadi mengisytiharkan keadaan darurat di Los Angeles, Orange, Riverside, San Bernardino, San Diego, Santa Barbara dan Ventura iaitu daerah-daerah yang diancam lebih 11 kebakaran hutan,” kata satu kenyataan dari pejabatnya.

Jabatan Bomba California berkata, seorang lelaki terbunuh dan empat anggota bomba cedera parah dalam satu kebakaran hutan yang besar di selatan California.

Kemalangan jiwa itu berlaku ketika mangsa-mangsa berkenaan berusaha menghalang api daripada merebak ke sebuah rumah di Potrero, dekat sempadan Mexico, 50 kilometer ke timur San Diego.

Satu lagi kebakaran besar telah memusnahkan beberapa bahagian bandar Malibu, hingga memaksa hampir kesemua penduduknya berpindah ke tempat selamat.

Sebahagian besar daripada tokoh-tokoh Hollywood juga terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang bernilai berjuta-juta dolar di pusat peranginan pantai eksklusif tersebut.

Seorang jurucakap Gabenor berkata, 36,000 penduduk di bandar Ramona, 50 kilometer ke timur laut San Diego di selatan California, diarah berpindah dan pihak berkuasa berusaha menghubungi 10,000 lain supaya berbuat demikian.

Lebih 500 anggota bomba berhempas pulas untuk mengawal kebakaran itu, yang semakin marak akibat angin kencang yang bertiup selaju 100 kilometer sejam.

Beratus-ratus hektar kawasan bukit musnah dalam kebakaran itu, yang turut membinasakan sebuah gereja dan beberapa buah rumah.

Kebakaran itu juga merosakkan sebahagian besar daripada Istana Malibu, yang juga dikenali sebagai Hodge Castle, yang dibina pada 1978 di puncak sebuah bukit dan ditawarkan untuk dijual pada Mac lalu dengan harga RM56 juta (AS$17 juta).

– AFP

0 comments: