Najib mula lawatan kerja di Perancis

Daripada: SAMSOR JUNET

PARIS 22 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini dari Moscow, Rusia tengah hari ini untuk mengadakan lawatan kerja tiga hari yang diyakini mampu membuka lembaran baru hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis yang kini dipimpin Presiden Nicolas Sarkozy.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Le Bourget dekat sini disambut Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk S. Thanarajasingam.

Thanarajasingam menyifatkan lawatan sulung Najib ke Perancis sejak dipimpin Presiden yang baru menggantikan Jacques Chirac amat penting dalam memastikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara terus kukuh.

‘‘Datuk Seri Najib mempunyai jadual kerja yang padat sempena pelancaran kapal selam kita yang pertama, Scorpene di Cherboug, esok,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Najib dijadual mengadakan mesyuarat dengan Menteri Imigresen, Integrasi dan Identiti Nasional Perancis, Brice Hortefeux di sini petang ini sebelum berlepas ke Ibu Pejabat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk majlis resepsi bagi meraikan semua menteri dan ketua delegasi negara-negara anggota UNESCO yang sedang mengadakan perhimpunan agung.

Esok, beliau akan berlepas ke Cherboug, kira-kira 300 kilometer dari sini untuk menghadiri majlis pelancaran kapal selam Scorpene yang akan disempurnakan oleh Rosmah pada sebelah tengah hari.

Selepas itu, beliau dan delegasi akan berlepas ke Cite de la Mer bagi mengadakan rundingan dua hala serta jamuan tengah hari. Beliau sekali lagi mengadakan rundingan dua hala pada sebelah petang dengan Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin sebelum kembali ke sini bagi mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia dalam satu majlis makan malam di Hotel Hilton Arc de Triomphe.

Pada Rabu, beliau akan menyampaikan syarahan utama di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) bertajuk Isu-Isu Keselamatan dan Pertahanan di Asia Tenggara dan selepas itu, beliau akan menghadiri satu majlis di pusat jagaan kanak-kanak di Creche de la Providence yang turut dihadiri oleh Rosmah.

Malaysia sentiasa mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik dengan Perancis dan ini dapat dibuktikan melalui jumlah dagangan kedua-dua negara yang mencecah RM8.3 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dalam pelbagai bentuk seperti import dan eksport peralatan elektronik, getah dan produk berasaskan getah, kimia, perabot dan lain-lain.

– Utusan

0 comments: