Najib hadiri pelancaran kapal selam TLDM di Paris

Oleh Zulkofli Jamaludin di Paris, Perancis

KEJAYAAN Malaysia melahirkan angkasawan yang meneroka ruang angkasa bakal diteruskan di dasar lautan pula, apabila kapal selam pertama - Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan di limbungan kapal di Cherbourg, Perancis.

Kapal pertama daripada dua kapal selam berharga RM3.68 bilion itu membolehkan armada TLDM meneroka dasar lautan, dan kini setanding dengan negara pemilik kapal selam untuk mengawal perairan negara seluas 598,450 kilometer persegi.

Majlis pelancaran kapal selam pertama yang mula dibina pada 2003 itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berlepas dari Moscow, Russia selepas menyaksikan kepulangan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat mendarat di bumi.


Majlis perasmian kapal selam yang akan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada Januari 2009 itu disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Duta Malaysia ke Perancis, Datuk S Thanarajasingam, berkata usaha melahirkan pegawai dan anggota TLDM untuk mengendalikan kapal selam bukanlah tugas mudah, tetapi memerlukan komitmen tinggi kerana mereka bakal bertugas di dasar lautan.

Katanya, seramai 143 pegawai dan anggota TLDM menjalani latihan di Sekolah Latihan Kapal Selam Malaysia di Pangkalan Laut DCN di Brest sejak 2004 bagi melayakkan mereka belayar pulang ke Malaysia.


Sebahagian daripada mereka berada di Brest menjalani latihan untuk menjadi krew kapal selam, manakala sebahagian lagi dilatih sebagai krew simpanan, sokongan dan pengajar. Latihan meliputi operasi di daratan dan dalam kapal selam serta penggunaan sistem, senjata, pemerintahan, taktikal dan peperangan biokimia.

Kira-kira 20 pegawai teknikal diketuai seorang laksamana pula berada di Cherbourg bagi membuat pemerhatian pembinaan Scorpene yang menjadi projek terbesar TLDM sejak penubuhannya 73 tahun lalu.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter daripada permukaan laut.

Scorpene masing-masing dibina di Cherbourg oleh DCNS Perancis dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia dulunya dikenali Izar di Cartagena, Sepanyol. Kapal selam pertama yang dibina di Cherbourg akan mula diuji selepas dirasmikan, manakala yang dibina di Sepanyol dijangka siap pada 2008.

Sebahagian daripada mereka berada di Brest menjalani latihan untuk menjadi krew kapal selam, manakala sebahagian lagi dilatih sebagai krew simpanan, sokongan dan pengajar. Latihan meliputi operasi di daratan dan dalam kapal selam serta penggunaan sistem, senjata, pemerintahan, taktikal dan peperangan biokimia.

Kira-kira 20 pegawai teknikal diketuai seorang laksamana pula berada di Cherbourg bagi membuat pemerhatian pembinaan Scorpene yang menjadi projek terbesar TLDM sejak penubuhannya 73 tahun lalu.

Pemilihan Scorpene untuk menjadi ahli keluarga terbaru TLDM ini dilaksanakan dengan teliti kerana pemilihannya berdasarkan reka bentuk yang unik serta boleh dipertingkatkan bagi jangka masa panjang.

Tahap keselamatannya juga tinggi, manakala reka bentuknya membolehkan ia dipasang reaktor nuklear kecil dalam kerangka, sekali gus membuktikan pandangan jauh TLDM tetapi tidak bermakna negara akan memiliki kapal selam berkuasa nuklear dalam tempoh terdekat.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam. Ia berkemampuan membawa 10 peluru berpandu dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

Tekanan udara, sistem penyejukan air dan kuasa elektrik dibekalkan empat jana kuasa diesel Izar/MTU 396 12V SE84 atau 360 elemen bateri plumbum. Mekanisme sistem pendorongan dan elemen sokongan dibina dalam dua kebuk berasingan dengan sistem pautan elastik bagi menghilangkan kesan bunyi dan gegaran.

Perasmian kapal selam itu sebahagian daripada lawatan rasmi selama empat hari Najib yang juga Menteri Pertahanan ke Perancis bermula semalam.

Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pertama yang melawat Perancis selepas Presiden, Nicolas Sarkozy memerintah Perancis, bermula 16 Mei lalu.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Imigrasi, Integrasi, Identiti Nasional dan Pembangunan, Brice Hortefuex yang pernah menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50, 31 Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis meraikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menghadiri Mesyuarat Agung Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bermula 16 Oktober lalu.

Hishammuddin yang akan bertanding kerusi lembaga eksekutif untuk tahun 2007 hingga 2011 pada pengundian esok sempena persidangan agung dwitahunan ke-34 Unesco, akan meningkatkan pembabitan Malaysia pada peringkat antarabangsa dan salah satu landasan terbaik bagi merealisasikan strategi pengantarabangsaan pendidikan negara.

Selain itu, Najib dijadual berucap mengenai Pertahanan - Isu Keselamatan di Asia Tenggara anjuran Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI), dan menemui rakyat Malaysia di Perancis.

0 comments: