Iran belum mampu bina bom nuklear

PARIS: Iran memerlukan tiga hingga lapan tahun untuk membangunkan bom nuklear, kata ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei.

"Saya tidak mahu menjangka hasrat negara itu, tetapi jika Iran mahu memiliki bom nuklear, ia memerlukan tiga atau lapan tahun lagi untuk berjaya memilikinya," kata ketua badan pemantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu kepada akhbar Perancis, Le Monde.

"Semua perkhidmatan risikan bersetuju dengan anggaran masa itu," katanya.


ElBaradei berkata, kekerasan hanya perlu digunakan selepas semua usaha diplomatik, sekatan, dialog dan insentif gagal untuk menghasilkan sesuatu yang positif.

"Saya mahu masyarakat antarabangsa bebas daripada berfikiran Iran adalah satu ancaman dan bebas daripada perbincangan sama ada Iran perlu dibom atau sebaliknya," kata pemenang hadiah Nobel Keamanan itu.

"Kita belum tiba kepada keadaan itu. Iran adalah contoh ketara bagaimana penggunaan kekerasan akan menyulitkan keadaan daripada menyelesaikannya," katanya. � AP

0 comments: