Khairy silap perancangan, apabila My-Team 2 bertemu Indonesia

Murtadza Ibrahim
Mon | Oct 22, 07 | 4:11:26 pm MYT

Sebagai peminat sukan bolasepak, kami menonton perlawanan persahabatan antara My-team 2 menentang pasukan Indonesia bawah 23 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pada malam tadi.

Pada waktu yang sama pasukan negara berhempas pulas, menentang pasukan Bahrain di Stadium Nasional, Manama bagi perlawanan pertama, pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia.

Walaupun pasukan negara tumpas dengan 4-1 kepada Bahrain tetapi sebagai peminat nombor satu sukan bolasepak ini tetap memberi sokongan seratus peratus walaupun lebih ramai yang mencaci dan merintih dengan mutu sukan bola sepak negara ini.

Kita 'sebak' kerana media elektronik negara ini tidak menyiarkan secara langsung perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Bahrain yang disifatkan penting dan lebih patriotik berbanding pada waku yang sama juga TV3 terpaksa akur dengan arahan dan kepentingan menyiarkan secara 'live' bolasepak antara pasukan My-Team 2 yang dikuasai oleh menantu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, terdapat tiga kesilapan yang dilakukan dalam rencana sebelum ini sebelum menjelang perlawanan persahabatan antara My-Team 2 menentang pasukan Indonesia. Kesilapan pertama adalah dijangka stadium penuh dan jutaan penonton akan menonton di hadapan TV3 tetapi ia tidak berlaku.

Juruhebah TV3, Abu Bakar Atan menyebut dua kali dengan kali pertama bilangan penonton dianggarkan 20,000 kemudian di penghujung perlawanan disebut 15,000 orang yang hadir. Radio Bernama pula menganggarkan 10,000 orang. Dan anggaran kami pula sekadar 5000 orang.

Kesilapan kedua adalah dijangka beberapa pemimpin tertinggi Umno mahupun pemimpin bolasepak negeri akan hadir untuk memberikan sorakkan ternyata silap kerana yang hadir hanyalah CEO TV3, CEO Air Asia, mungkin juga CEO SCOMI dan Khairy Jamaluddin yang memakai pakaian serba hitam. Malahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isterinya juga tidak hadir langsung.

Kesilapan ketiga adalah My-Team 2 dianggap pasukan yang hebat dan mantap jika dibandingkan dengan My-Team tetapi ternyata silap. Mutu pasukan My-Team 2 hampir sama dengan pasukan bola sepak Belia 4B Buntut Pulau, Temerloh Pahang.

Bezanya mereka bermain di Stadium yang besar dan diadakan secara live oleh stesen TV yang paling popular dan wibawa di negara ini serta berhadapan dengan pasukan Indonesia bawah 23 tahun sementara Belia 4B Gong Badak hanya bermain di sekitar kampung yang hanya ditonton oleh penduduk setempat sahaja.

Seorang AJK Umno di salah sebuah bahagian di Perak memberitahu, dia terpaksa menyaksikan perlawanan tersebut di kaca tv sebelum menonton perlawanan EPL antara Aston Vila dengan Sunderland pada pukul 12 malam.Katanya pasukan Indonesia mempunyai peluang untuk menjaringkan hampir 10 gol tetapi dikekalkan hanya dua gol.

Kurang pasti bagaimana Indonesia mempunyai peluang untuk menjaringkan 10 gol memandangkan pertahanan My-Team2 adalah cukup kuat dan hebat kerana dia mendapat inspirasi dari bekas pertahanan Malaysia dan Kuala Lumpur, Serbegeth Singh atau Shebby.

Apa yang menarik, papan iklan di sekeliling stadium yang disifatkan sebagai penaja hanya terdapat tiga syarikat utama. Ketiga-tiga penaja ini adalah SCOMI yang dikaitkan dengan perniagaan anak Abdullah Ahmad Badawi, Hotlink dan Air Asia yang mungkin ada hubungan erat dengan menantu Abdullah.

Jadi, perlawanan persahabatan antara pasukan My-Team 2 dengan Indonsia adalah berkisar cerita anak dan menantu Abdullah Ahmad Badawi iaitu My-Team 2 kepunyaan Khairy, TV3 dan radio Hot.FM adalah di bawah pengaruh beliau, SCOMI yang dikaitkan dengan Kamaludin Abdullah sementara Hotlink dan Air Asia pula dilihat hubungan baik antara mereka dengan Khairy.

Segala-galanya adalah ibarat perlawanan 'santai' untuk menantu dan anak-anak Abdullah Ahmad Badawi yang disaksikan oleh mereka dan ¾ kerusi yang kosong.

Jika ukuran sokongan umum dirujuk kepada populariti Naib Ketua Pemuda Pergerakan Umno Malaysia ini, perlawanan My-Team2 dan Indonesia membuktikan bahawa menantu Abdullah Ahmad Badawi ini cukup tidak 'popular'.

Ini dibuktikan ¾ stadium kosong walaupun mendapat publisiti hebat dari TV3, Radio Hot.Fm dan media cetak harian sebelum menjelang perlawanan tersebut. Ini adalah ujian sebenar Khairy samada dirinya 'popular' di kalangan masyarakat umum atau tidak terutamanya kepada genarasi muda.

Khairy mungkin boleh mempengaruhi Pemuda dan Putera Umno dalam karier politik Umno. Khairy mungkin boleh mengawal media utama negara untuk populariti. Khairy juga mungkin boleh mempengaruhi agensi kerajaan untuk mendapatkan perniagaan yang berkaitan dengan korni dan `orang-orangnya’.

Tetapi dia juga boleh memahami sejauhmana populariti ini boleh menarik sokongan umum terutamanya genarasi muda terhadap dirinya. Dan dia juga boleh memahami sejauhmana sokongan pengundi Parlimen Rembau sekiranya dia bertanding dalam Pilihan raya umum akan datang.

Walaupun di dalam sejarah kerusi Parlimen Rembau tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang dan mungkin tidak akan jatuh tetapi majoriti undi boleh digunapakai.

Mungkin juga Khairy tidak mempunyai masalah untuk menang tetapi bagaimana dengan Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Pengerusi kepada Barisan Nasional Pusat? Apakah Pilihan raya umum akan datang adalah lebih baik atau sama baik dengan keputusan Pilihan raya umum 2004 yang lalu? Apakah tindak tanduk dan populariti Khairy membantu meningkatkan imej bapa mentuanya?

Seorang Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian pernah memberitahu, kami memang benar-benar 'pening' dengan arahan atau kenyataan Khairy selaku Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Apakah arahan atau kenyataan ini hadir dari diri Khairy sendiri mahupun arahan secara 'tidak langsung' daripada Abdullah Ahmad Badawi?

"Cubalah lihat kenyataan Abdullah dan Khairy. Seolah-olah ia arahan daripada Abdullah walaupun mungkin ia kenyataan dari Khairy sendiri," katanya.

Inilah sejarah pertama politik Umno dan Barisan Nasional apabila politik dikuasai oleh 'anak beranak' sepertimana yang tidak digemari atau digunakan langsung oleh bekas Perdana Menteri dahulu, Tun Dr Mahathir Muhamad.

"Kita masih boleh terima jika ia dikaitkan dengan perniagaan yang membabtikan keluarga tetapi apabila kuasa turut dikaitkan sekali ia akan menjadi sukar,"tambah beliau.

Dan pilihan raya umum nanti akan membuktikan sama ada pembangkang berjaya menambahkan kerusi atau hilang terus dengan 'kuasa anak beranak' ini.

Kembali kepada pasukan My-Team 2 ini, secara jujur ia masih boleh dididik dan digilap bakat masing-masing dalam jangka masa yang panjang dan bukannya seperti 'mee segera' kerana mengejar populariti. - mks.

0 comments: