Kes bunuh Altantuya: Pakar tak pasti tulang, tisu terdedah radiasi

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi ke-39 beritahu hasil ujian semua spesimen DNA berpadanan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu tiada sebarang analisis dilakukan bagi menentukan sama ada spesimen tulang dan tisu manusia dipercayai milik Altantuya Shaariibuu terdedah kepada sebarang radiasi ketika profil DNA diambil.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, 54, berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada spesimen itu terdedah atau tidak kepada sumber radiasi kerana tidak menjalankan kajian mutasi terhadapnya.

Primulapathi berkata, jika salah satu spesimen itu terdedah kepada radiasi, maka spesimen lain yang dijumpai bersama di tempat kejadian akan terdedah sama.


Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan kepada pengalamannya dalam menjalankan ujian DNA, spesimen tulang dan tisu manusia itu kemungkinan besar tidak terdedah kepada radiasi dan hasil ujian yang dijalankan mendapati semua spesimen itu berpadanan, menunjukkan ia mempunyai salur galur keturunan sebelah ibu yang sama.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin ketika sesi pemeriksaan semula, sama ada beliau menemui banyak profil DNA ketika ujian itu, saksi ke-39 pendakwaan itu berkata: �Tidak, saya hanya mendapati satu profil DNA manusia, semuanya daripada sumber sama�.

Ditanya Noorin sama ada dia pernah berhadapan dengan sebarang kesulitan untuk mendapatkan profil DNA ketika menjalankan ujian terhadap spesimen itu, Primulapathi menjawab, "Tidak".


Menjawab soalan peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Primulapathi berkata, jika seseorang terdedah kepada radiasi, urutan DNA individu terbabit mungkin akan berubah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendedahan kepada radiasi itu tidak akan mengubah keseluruhan urutan DNA sebaliknya hanya akan berlaku perubahan kecil kepada sebahagian DNA terbabit.

Kuldeep: Jika ada tulang dan tisu manusia yang berasal daripada sumber yang berbeza tetapi diperoleh dari tempat sama dan ia bercampur, adakah DNA yang didapati melalui analisis akan tercemar?

Primulapathi: Hasil analisis akan menunjukkan bahawa sukar untuk mendapatkan keputusan yang jelas kerana ada beberapa profil yang berbeza.

Kuldeep: Adakah kamu dimaklumkan oleh pakar forensik bahawa tulang manusia yang dijumpai di tempat kejadian bercampur dengan tulang bukan daripada sumber manusia?

Primulapathi: Tidak.

Sementara itu Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mengemukakan soalan tambahan kepada saksi mengenai apa akan terjadi jika ahli kimia itu menjalankan ujian terhadap spesimen tulang daripada sumber yang berbeza.

Menjawab soalan itu, Primulapathi berkata hasil ujian yang dijalankannya tidak akan terjejas walaupun terdapat beberapa spesimen yang berbeza. Perbicaraan di hadapan Mohd Zaki bersambung hari ini.

dan hasil diperoleh akan menunjukkan bahawa terdapat beberapa profil DNA menandakan ada beberapa individu di tempat kejadian.

Dalam perbicaraan terdahulu, Primulapathi memberitahu mahkamah beliau tidak menjalankan ujian DNA terhadap semua spesimen tulang yang diserahkan kepadanya kerana beliau dimaklumkan bahawa ia diperoleh daripada tempat sama.

0 comments: