Dr. Faiz kini berpangkat Mejar

MOSCOW 22 Okt. – Angkasawan negara, Kapten Dr. Faiz Khaleed menerima satu kejutan malam ini apabila beliau dinaikkan ke pangkat Mejar berkuat kuasa serta-merta.

Berita menggembirakan itu diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis makan malam selepas beliau kembali daripada menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Lapangan Terbang Chakalovsky, dekat sini.

“Saya telah berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia bersetuju untuk menaikkan pangkat Faiz daripada Kapten kepada Mejar,” katanya.

Faiz dilahirkan pada 15 September 1980 di Kuala Lumpur dan merupakan graduan Universiti Malaya dalam bidang pergigian.

Selepas tamat pengajian pada tahun 2004, beliau menyertai ATM dan ditugaskan di Pusat Latihan Tentera Laut di Tanjung Pengelih, Johor sebagai doktor pergigian.

Pada September 2006, Faiz menjalani latihan angkasawan bersama Dr. Sheikh Muszaphar di Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin (GCTC) di Star City, Rusia.

Apabila Sheikh Muszaphar diumum sebagai angkasawan pertama negara, Faiz dipilih untuk menjadi angkasawan sokongan.

“Selepas ini, sekembalinya ke tanah air, saya berharap Faiz akan dapat mengembangkan segala pengalaman sepanjang menjalani latihan angkasawan kepada pelajar sekolah,” ujarnya.

Sementara itu, Faiz ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau amat terkejut dengan pengumuman terbabit dan berterima kasih kepada kerajaan atas pengiktirafan berkenaan.

“Sudah tentu saya terharu dan gembira dengan pengumuman ini. Ia akan menguatkan semangat saya untuk terus berkhidmat demi negara.

“Ketika ini, saya masih terikat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga 2008 dan selepas itu, saya akan berbincang semula sama ada untuk memanjangkan tempoh tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan Faiz akan menyertai misi angkasawan seterusnya yang dijangka pada penghujung 2010 atau awal 2011.

– Utusan

0 comments: