Misi angkasawan tidak membazir – PM

Oleh ABDUL RAZAK DIN dan ZAINI RABAN

IPOH 22 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, misi sulung angkasa lepas Malaysia bukan satu pembaziran, sebaliknya ia memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk tujuan itu dan ia tidak menjejaskan program pembangunan yang lain.

“Kita tahu penyertaan dalam misi angkasa lepas ini memerlukan banyak pelaburan tetapi kita masih ada wang lagi untuk keperluan pembangunan yang lain.

“Kita ada wang dan kita boleh. Kita benar-benar tahu wang kita masih ada lagi untuk membawa kesejahteraan pada rakyat dan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan misi sulung angkasa lepas negara apabila angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke Bumi semalam.

Abdullah bagaimanapun mahukan kejayaan besar itu tidak menjadi kejayaan pertama dan terakhir tetapi perlu menjadi rentetan kepada pelbagai kejayaan lagi.

“Ia perlu menjadi satu manfaat dan bukan kejayaan pertama dan terakhir bagi kita. Kita mahu kejayaan yang pertama ini sebagai kejayaan terbaik dan membawa pelbagai kejayaan lagi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar itu juga telah menarik minat negara-negara Eropah dan Jepun untuk mempelajari kejayaan Malaysia tentang hasil kajian sel barah yang dilakukan di angkasa lepas itu.

Menurutnya, ia juga menarik minat negara maju terbabit mempelajari permuafakatan yang terjalin antara Malaysia dengan negara-negara yang mempunyai agensi angkasa lepas.

“Biasanya misi seperti ini dikendalikan oleh negara-negara yang maju sahaja tetapi Malaysia yang belum maju sudah mampu melakukannya (misi angkasa lepas),” katanya.

Abdullah berkata, untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia perlu merancang pelbagai lagi kejayaan.

“Saya harap kejayaan yang pertama ini akan membawa kejayaan yang lebih baik lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek pembangunan dan pemodenan Gugusan Manjoi, Abdullah berkata, kerajaan melaksanakan program itu untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, ia akan membolehkan kemudahan itu mudah dinikmati oleh rakyat dan digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Ini membolehkan pelbagai perkhidmatan kerajaan digerakkan dan ia (Gugusan Manjoi) menjadi kawasan moden untuk dinikmati oleh rakyat,” katanya.

0 comments: