Mangsa tragedi feri kemuka saman

JOHOR BAHRU 22 Okt. – Sebanyak 14 penumpang yang terlibat dalam tragedi feri terbakar dan karam di perairan berhampiran Pulau Tioman minggu lalu memutuskan untuk menyaman syarikat feri tersebut serta beberapa pihak lain yang didakwa turut menyumbang kepada nahas itu.

Kesemua mangsa berkenaan kini dalam proses untuk melantik peguam bagi mewakili mereka di samping membantu mengumpulkan dokumen serta bahan bukti untuk dibawa ke mahkamah kelak.

Saman tersebut akan meliputi ganti rugi bagi keluarga mangsa yang terkorban, ganti rugi kepada mangsa yang tercedera serta ganti rugi kepada mangsa yang mengalami trauma akibat nahas itu.

Buat masa ini, kesemua 14 mangsa berkenaan merujuk kepada Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Song Sing Kwee sebagai penasihat undang-undang mereka.

Menurut Sing Kwee, pihaknya menjangkakan saman terhadap syarikat feri Seagull Express itu akan dapat dikemukakan ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengumpulkan kesemua dokumen yang diperlukan.

Katanya lagi, mangsa-mangsa nahas feri berkenaan juga berhasrat untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap jabatan-jabatan kerajaan yang menyumbang kepada nahas itu terutamanya Jabatan Laut kerana gagal memastikan aspek keselamatan feri-feri yang beroperasi.

“Buat masa ini, kami berjaya mengumpul seramai 14 orang mangsa dan saya yakin mangsa-mangsa lain akan turut bersama kami dalam menuntut kerugian daripada syarikat feri ini,” katanya.

Tragedi Feri Seagulll Express 2 yang terbakar dan karam di perairan kira-kira 7 batu nautika daripada Pulau Tioman pada 13 Oktober lalu telah mengorbankan tujuh nyawa yang mana 103 penumpang dan tiga krewnya terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri tanpa jaket keselamatan yang mencukupi.

0 comments: