70 barang bukti didedah hari ini

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 21 Okt. - Prosiding perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini dijangka kembali menarik perhatian umum apabila sejumlah 70 barang bukti antaranya senjata api, kelongsong peluru dan bahan letupan didedahkan esok.

Bungkusan barang bukti tersebut akan dikemukakan dan dibuka oleh Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Shaari Desa, 40.

Pakar tersebut akan menjelaskan satu demi satu proses analisis yang telah dijalankan oleh beliau ke atas barang bukti sehingga menemui beberapa penemuan yang menjurus kepada satu kesimpulan.

Pada prosiding 9 Oktober lalu, Shaari memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima tiga set barang kes yang diletakkan di dalam 69 sampul surat.

Kesemua barang kes tersebut, menurut Shaari telah diserahkan oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Tonny Lunggan kira-kira pukul 3 petang, 17 November 2006.

Kata Shaari, beliau telah menjalankan analisis ke atas set barang kes pertama iaitu senjata api dan bahan-bahan berkaitan senjata api.

Bagi set kedua iaitu spesimen tanah yang dijumpai pada tayar kenderaan, menurut saksi, beliau telah diminta supaya membandingkannya dengan sampel tanah yang diambil di tempat kejadian.

Manakala set ketiga, beliau telah diminta supaya menjalankan analisis perbandingan bahan-bahan letupan dengan spesimen yang dihantar bersama.

Pemeriksaan utama terhadap Shaari dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Saksi pendakwa ke-40 itu memberikan keterangan menggunakan kepakaran beliau pada perbicaraan terhadap tiga tertuduh yang didakwa terlibat membunuh Altantuya.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

0 comments: