Pengalaman beribadat di ISS dibukukan

PUTRAJAYA 22 Okt. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membukukan pengalaman angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor melaksanakan ibadat solat dan puasa sepanjang 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, ini bagi membolehkan ia dijadikan rujukan oleh angkasawan Islam Malaysia atau dari negara lain dalam misi angkasa lepas pada masa akan datang.

‘‘Inisiatif untuk membukukan pengalaman Dr. Sheikh Muszaphar beribadat di ISS akan dilakukan bagi memantapkan lagi buku garis panduan Pelaksanaan Ibadah di ISS yang kita telah terbitkan sempena penghantaran angkasawan pertama negara itu.

‘‘Kita tumpukan pelaksanaan ibadat di ISS kerana di sana, kita lihat keadaannya lebih selesa berbanding ketika dalam kapal angkasa Soyuz dan ini membolehkan kita meneliti amalan ibadat yang sebenarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Sheikh Muszaphar selamat kembali ke Bumi semalam selepas 10 hari berada di ISS, sekali gus menempa sejarah baru kejayaan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama dua lagi angkasawan iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov, mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas melalui perjalanan 3 jam 23 minit dari ISS.

Sempena Program Angkasawan Negara, Jakim mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di ISS yang merupakan kali pertama di dunia bagi tujuan kegunaan angkasawan pertama negara itu.

Garis panduan secara khusus itu membabitkan cara beristinjak, mengangkat hadas kecil dan besar, penentuan kiblat dan waktu solat, cara menunaikan solat, pelaksanaan ibadat puasa dan pengurusan jenazah.

Ia juga membabitkan hal yang berkaitan pemakanan, etika berpakaian dan etika bermusafir.

Menurut Wan Mohamad, garis panduan tersebut dirangka berdasarkan pandangan para ahli fikah Islam silam yang sebenarnya sudah lama mengandaikan tentang cara beribadat di angkasa.

‘‘Dalam pandangan fikah taqdiri, para fuqaha telah lama mengandaikan tentang sesuatu perkara yang realitinya hanya berlaku sekarang dan ini menunjukkan mereka mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan.

‘‘Kita telah membongkar khazanah fikah yang telah mereka hasilkan untuk kita tafsirkan mengikut keperluan sekarang,” katanya.

Justeru, menurut beliau, misi penerokaan angkasa lepas yang berjaya dilaksanakan oleh negara itu wajar diikuti oleh ahli fikah sekarang supaya mereka juga turut membuat kajian yang mendahului zaman sebagaimana para ulama silam.

0 comments: