Ramai kecewa kes Nurin belum selesai

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan kematian Nurin Jazlin Jazimin akibat dibunuh dengan kejam, orang ramai terus meluahkan rasa tidak puas hati terhadap siasatan polis apabila pembunuh kanak-kanak berusia lapan tahun itu masih bebas.

Keluarga Allahyarham Nurin Jazlin, turut menjadi tempat orang ramai meluahkan rasa marah dan kecewa termasuk dengan menghantar SMS, menelefon dan surat yang mahu pihak polis segera menangkap penjenayah terbabit.

"Hingga ke hari ini saya masih menerima banyak SMS daripada orang ramai termasuk dari Singapura, Sabah dan Sarawak yang mahu polis segera tangkap penjenayah itu...malah ada yang syorkan saya siasat sendiri.


"Saya tak mampu buat apa-apa selain menunggu hasil siasatan polis. Apa daya saya nak cari pembunuh tu? Saya tak kenal dia, lagipun dunia ni bukannya kecil," kata Jazimin Abd Jalil ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Beliau berkata, harapannya untuk melihat penjenayah terbabit segera di bawa ke muka pengadilan lebih tinggi daripada harapan orang ramai yang mahu perkara sama berlaku.

"Saya tak mahu perkara ini terjadi pada orang lain. Selagi dia (pembunuh) terlepas bebas, selagi itulah hidup kami rasa tak selamat," katanya.

Sementara itu isteri Jazimin, Norazian Bistaman, berkata beliau sekeluarga terpaksa menangguhkan hasrat untuk berpindah ke rumah sewa baru kerana belum mendapat jawapan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Norazian berkata, beliau sudah memohon mendapatkan rumah sewa DBKL sejak tahun lalu tetapi hingga kini tiada sebarang jawapan yang diterima.

0 comments: