Benazir bantah larangan kempen perhimpunan

ISLAMABAD: Puak Islam pro-Taliban dan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto mengutuk larangan yang dicadangkan kerajaan terhadap perhimpunan dan kempen selepas serangan bunuh diri mengorbankan 139 orang, sambil menyifatkannya cubaan menjejaskan pilihan raya untuk membolehkan perkongsian kuasa di antara Benazir dan Presiden Pervez Musharraf.

Pegawai kanan kerajaan mencadangkan pengharaman sebarang perhimpunan menjelang pilihan raya Parlimen pada Januari sebagai langkah menghalang berulang kejadian serangan bunuh diri ketika menyambut kepulangan Benazir Khamis lalu.

Bagaimanapun penganalisis berkata, larangan itu boleh menjejaskan kredibiliti pilihan raya dan melanjutkan lagi kemelut politik di negara itu ketika ia terus berusaha menentang puak ekstremis.


Seorang pemimpin ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, Sadiq ul-Farooq berkata, cadangan itu adalah sebahagian daripada rancangan 'menipu secara terang-terangan'.

"Musharraf mahu menguatkuasakan larangan ini untuk menghalang pemimpin pembangkang yang popular daripada menemui pengundi sebelum pilihan raya parlimen," katanya.

Semakin banyak isyarat yang menunjukkan Musharraf dan Benazir akan meneruskan sokongan terhadap Amerika dengan misi utama menentang kumpulan pelampau, walaupun pelbagai keraguan yang masih wujud.

Keadaan ini meninggalkan Nawaz yang disingkirkan ketika Musharraf merampas kuasa pada 1999, untuk mengetuai kumpulan pembangkang dan dijangka mendapatkan sokongan parti berlandaskan agama yang menentang keras peranan Pakistan dalam usaha Amerika memerangi keganasan.

Ameer ul-Azeem, jurucakap Mutahida Majlis-e-Amal, sebuah pakatan parti pembangkang berlandaskan agama, mengecam Musharraf dan menggelar pemimpin itu sebagai 'diktator yang memanggil dirinya demokratik'.

"Sekarang Musharraf melarang perhimpunan politik untuk mengawal demokrasi di negara ini dan mengganggu pembangkang, kerana beliau tahu parti pemerintah tidak mampu mengadakan perhimpunan besar," katanya. � AP

0 comments: