Keterangan mengenai 70 bahan bukti ditangguh

SHAH ALAM: Tujuh puluh bahan bukti berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang sepatutnya dibuka dan ditanda di Mahkamah Tinggi di sini semalam, terpaksa ditangguh kerana saksinya, menghidap demam denggi.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan saksi ke-40 pihak pendakwaan, Shaari Desa, 40, mungkin bercuti sakit selama seminggu.

Tun Abdul Majid berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu malam kelmarin, sebaik saja Shaari selesai menjalani pemeriksaan di hospital.


Shaari yang juga Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alatan Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik Jabatan Kimia Petaling Jaya, dijadualkan untuk memberikan keterangannya dan mengesahkan semua bahan bukti berkenaan, semalam.

Pada 9 Oktober lalu, Shaari dalam keterangannya berkata beliau menerima 70 barang antaranya senjata api, kelongsong peluru, bahan letupan dan spesimen yang dijumpai di tempat pembunuhan Altantuya di Puncak Alam sini, untuk dianalisis.

Shaari berkata beliau menerima semua 70 barang dalam 69 sampul surat dan satu bungkusan daripada pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan (ASP) Tonny anak Lunggan, 17 November tahun lalu.


Tun Abdul Majid berkata, keterangan daripada Shaari masih tergantung dan pihak pendakwaan tidak dapat memanggilnya untuk menyambung keterangan selagi dia belum pulih.

"Bagaimanapun, kami tidak bercadang menangguhkan perbicaraan kes ini. Sebelum ini, dijadualkan saksi-saksi dari Jabatan Forensik dan Patologi akan dipanggil sebaik saja Shaari selesai memberikan keterangannya kerana rantaian bahan bukti dan keterangan mereka adalah berkait.

"Bagaimanapun kami terpaksa membuat perubahan dengan memanggil pakar patologi yang kini sudah berpindah ke Pulau Pinang memberikan keterangannya esok (hari ini)," katanya.

Atas permintaan pihak pembelaan, Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, 54, dipanggil pada sesi petang untuk berikan keterangan.

0 comments: