Tun Dr Mahathir Jalani Pembedahan Membersihkan Luka

KUALA LUMPUR, 23 Sept Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menjalani rawatan pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung, malam tadi menjalani pembedahan membersihkan luka akibat jangkitan kuman.

Menurut kenyataan Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini, pembedahan itu dilakukan pada 11.30 malam dan berakhir 2.30 pagi.

Prosedur itu dilakukan oleh pasukan pembedahan yang diketuai Tan Sri Dr Yahya Awang, pasukan yang sama melakukan pembedahan pintasan jantung ke atas Dr Mahathir di IJN pada 4 Sept.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir kini berada dalam keadaan stabil dan menggunakan alat sokongan rutin selepas pembedahan.

Beliau dijangka terus menggunakan alat sokongan sekurang-kurangnya 36 jam bagi penjagaan selepas pembedahan dan akan dipantau rapi oleh para doktor dan jururawat IJN di Unit Penjagaan Rapi (ICU).

Tempoh 72 jam akan datang merupakan tempoh paling penting bagi penjagaan selepas pembedahan, menurut kenyataan itu.

Pembedahan debridemen ialah proses membersihkan luka yang terdedah dengan membuang bahan-bahan asing dan tisu mati supaya penyembuhan boleh berlaku tanpa gangguan.

Dr Mahahir, 81, yang menjalani pembedahan jantung kedua pada 4 Sept lepas di institut itu, dipindahkan semula ke wad ICU 10 hari kemudian. Beliau dipindahkan ke wad biasa Wad Bunga Raya pada 12 Sept.

Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung buat pertama kalinya di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Jan, 1989 akibat serangan sakit jantung.

-- BERNAMA

0 comments: