319 budak masih hilang

Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kematian tragis mangsa serangan seksual, Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah berlalu.

Namun, nasib 319 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun yang dilaporkan hilang bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini masih belum diketahui.

Adakah mereka akan melalui nasib sama yang dialami Nurin Jazlin atau kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat?

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang berkongsi kebimbangan itu berkata, unit baru polis dikenali Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak yang diwujudkan untuk menangani kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga akan diperluaskan untuk menjejaki mereka yang hilang.

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan kes kematian tragis kanak-kanak dan remaja.

“Justeru, saya telah arahkan supaya peranan unit ini diperluaskan untuk mengumpul maklumat dan menjejaki kanak-kanak serta remaja yang dilaporkan hilang,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

KPN berkata demikian ketika diminta mengulas nasib 319 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang masih hilang seperti yang direkodkan dalam statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih membimbangkan, seramai 6,270 kanak-kanak di bawah kategori umur yang sama dilaporkan hilang sejak Januari 2004 hingga Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 4,237 atau 67.5 peratus pulang semula ke rumah mereka manakala 2,033 masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee memberitahu, unit itu yang juga dikenali sebagai D11 ditubuhkan bagi mengendalikan kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga terutama kes-kes seksual dan penderaan.

Pada masa yang sama, Musa meminta pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Perkara ini mesti ditangani oleh semua pihak dan masyarakat. Usaha menjejaki mereka tidak boleh bergantung kepada polis semata-mata sebaliknya semua anggota masyarakat perlu memberi kerjasama,’’ tegasnya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, pasukan polis sentiasa melipat-gandakan usaha mereka dalam mencari remaja atau kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

“Walaupun kadangkala kekurangan anggota tetapi polis tidak ‘lepas tangan’ dalam terus mencari orang-orang hilang atau mangsa culik,’’ ujarnya.

Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menyambut baik usaha polis untuk menubuhkan unit baru itu.

Kata beliau, MCA akan bekerjasama dengan polis secara rapat dalam mengesan kanak-kanak atau remaja hilang.

“Kita akan menghubungi polis sebaik sahaja kita memperoleh maklumat mengenai mana-mana remaja atau kanak-kanak hilang,’’ ujarnya.

0 comments: