Kemungkinan Dakwa Ibu Bapa Nurin Berlandaskan Undang-undang - Nazri

KUALA KANGSAR, 23 Sept (Bernama) -- Kemungkinan polis mengambil tindakan mendakwa ibu bapa Nurin Jazlin yang meninggal dunia akibat deraan seksual adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Undang-undang tetap undang-undang...kita kena ambil tindakan, tiada siapa boleh terlepas," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengenai kemungkinan polis mendakwa ibu bapa kanak-kanak itu kerana cuai.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan zakat Amanah Raya Berhad di sini malam tadi, beliau berkata tindakan yang diambil polis itu adalah berlandaskan kepada prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang.

Jazimin Abdul Jalil dan isterinya Norazian Bistaman menghadapi kemungkinan didakwa kerana cuai mengikut peruntukan undang-undang Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Musa pada Jumaat berkata polis sedang menyiapkan laporan kes dan jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, polis akan mencadangkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapanya.

Musa juga berkata peruntukan undang-undang terhadap ibu bapa yang cuai menjaga keselamatan anak mereka telah lama wujud, tetapi belum pernah dikuatkuasakan selama ini.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun mendapat reaksi yang negatif daripada beberapa pihak.

-- BERNAMA

0 comments: