Ganjaran RM5,000 pemberi maklumat pembunuh

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Robert Phang Miow Sin menawarkan ganjaran peribadi RM5,000 kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin Jazimin.

Miow Sin berharap dengan ganjaran tersebut orang ramai akan tampil memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.

“Saya sangat sedih dan marah kerana masih ada manusia yang bertopengkan binatang dan sanggup melakukan penderaan seksual dan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Saya dan MCPF mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam itu dan penjenayah tersebut seharusnya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya pada sidang media di pejabat MCPF di sini hari ini.

Miow Sin berkata, kejadian yang berlaku terhadap Nurin itu boleh berlaku kepada kanak-kanak lain dan justeru itu, masyarakat perlu bekerjasama bagi membasmi sepenuhnya jenayah di negara ini.

“Saya melihat kes jenayah seksual seperti ini seperti satu trend dan kita perlu mengenal pasti cara untuk mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Miow Sin berkata, MCPF telah memperkenalkan penggunaan wisel sebagai salah satu cara pencegahan jenayah sejak beberapa bulan lepas dan setakat ini, sebanyak 10,000 wisel telah diagihkan kepada orang ramai.

“Orang ramai digesa membawa wisel ke mana sahaja mereka pergi sama ada di dalam atau di luar rumah sebagai alternatif menangani kes jenayah yang semakin meningkat.

“Apabila berlaku sesuatu jenayah dan dalam keadaan kecemasan, orang ramai boleh meniup wisel tersebut bagi menarik perhatian dan pertolongan orang awam seterusnya mengelakkan kejadian jenayah,” katanya.

Jelasnya, pada 3 Oktober depan, MCPF akan mengadakan program pencegahan jenayah di Wangsa Maju dan akan turut mengadakan program yang sama di tempat lain di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

0 comments: