Lelaki parah ditetak 'rakan'

Oleh Mohd Fazil Ahmad


BERTARUNG NYAWA: Senawi cedera parah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah selepas diserang lelaki di Kampung Padang Nyior, Kubur Panjang, semalam.

Empat jari putus terkena libasan pedang samurai ketika balik dari menoreh

PENDANG: Seorang lelaki putus empat jari tangan kanan selepas ditetak dalam satu pergaduhan di Kampung Padang Nyior, Kubur Panjang, di sini, semalam.

Senawi Ahmad, 40-an ditetak lelaki yang dikenalinya dengan pedang samurai bertubi-tubi jam 11 pagi selepas pulang dari menoreh getah dari kebun berhampiran.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa pernah berselisih faham dengan penyerang terbabit yang dipercayai rakannya dan menyebabkan wujud perasaan dendam.

Isteri mangsa, Fatimah Sulong, 40-an, berkata ketika dalam perjalanan pulang dari menoreh, beliau singgah di kedai, manakala suaminya meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

"Ketika dalam perjalanan pulang saya dapati suami saya dihalang di tepi jalan dan nampak dia ditetak bertubi-tubi. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Fatimah berkata, orang ramai kemudian menelefon ambulans bagi menghantar suaminya yang cedera.

Katanya, beliau mengenali penyerang berkenaan yang pernah berkawan dengan suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut.

0 comments: